Pembaharuan pilihan raya di landasan betul tapi amat perlahan, kata Bersih


Noel Achariam

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata langkah pembaharuan lain perlu disegerakan jika kerajaan serius untuk memulihkan institusi Malaysia yang rosak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2019.

KEJAYAAN menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik adalah pembaharuan penting kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memperbaiki sistem pilihan raya negara bagi tempoh 500 hari pertama ia berkuasa.

Bagaimanapun, Bersih 2.0 berkata langkah pembaharuan lain perlu disegerakan jika kerajaan serius untuk memulihkan institusi Malaysia yang rosak.

“Undi18 mempunyai implikasi luas kerana ia boleh menjadi pemangkin untuk memperkenalkan pendidikan sivik sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran pendidikan negara kita,” kata Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann.

“(Pendidikan sivik) diharapkan tidak hanya mempersiapkan belia hari ini untuk pilihan raya tetapi juga rakyat agar lebih mengetahui hak, peranan dan tanggungjawab mereka.”

Umur minimum pengundi diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun, yang berpotensi memberi tambahan 7.5 juta pengundi bagi senarai pengundi untuk pilihan raya umum akan datang.

Fann juga memuji Putrajaya kerana membentuk Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) yang akan mencadangkan perubahan selanjutnya untuk memperbaiki pilihan raya.

“Tetapi kita perlu menunggu sehingga Ogos 2020 untuk mengetahui sama ada cadangan itu signifikan dan sama ada PH mempunyai kehendak politik untuk melaksanakannya.

“Pelantikan anggota baru Pesuruhjaya Pilihan Raya di bawah pengerusinya Azhar Harun juga membuahkan hasil dalam inisiatif untuk membaik pulih pilihan raya ketika pilihan raya kecil setakat ini.”

Bagaimanapun, Bersih 2.0 bimbang Putrajaya tidak meminda undang-undang yang akan menjadikan badan seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Jabatan Audit Negara menjadi benar-benar bebas.

“Keutamaan paling utama PH dalam beberapa sidang Parlimen akan datang adalah untuk meneruskan pembaharuan yang akan menjadikan semua institusi ini jenteran yang efektif bagi semak dan imbang kepada kerajaan.

“Kemajuan yang dilakukan PH terhadap reformasi pilihan raya dan institusi berada di landasan yang betul tetapi progresnya sangat perlahan,” kata Fann. – 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen