Saksi nampak luka dalam di kepala CEO Cradle Fund


Alfian Z.M. Tahir

Inspektor Anestassia Chin Fat memberitahu mahkamah beliau tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat ketika melihat mayat CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 September, 2019.

LUKA yang dalam antara kecederaan lain terdapat di kepala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan yang dilihat oleh pegawai penyiasat dihantar ke rumah selepas menemuinya meninggal dunia, tetapi tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat, mahkamah diberitahu pada perbicaraan hari ini.

Inspektor Anestassia Chin Fat memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam berdasarkan siasatan awalnya, beliau tidak menemui bukti pembunuhan tetapi mengesahkan mayat itu mempunyai beberapa kesan kecederaan.

“Saya dimaklumkan oleh seorang rakan sekerja satu mayat ditemui di rumah selepas bomba memadamkan kebakaran. Saya pergi ke rumah dan naik ke tingkat dan menemui mayat berada di sisi katil.”

“Saya memeriksa mayat dan dapat melihat luka yang dalam di bahagian kiri kepala dan juga kecederaan pada bahagian kiri muka seolah-olah ia dikelar, dan ada tanda terbakar di dada berhampiran bahu,” beliau memberi keterangan.

“Masih terdapat darah dan mayat ditemui di lantai sebelah katil dan saya tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat,” katanya ketika ditanya peguam bela Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Anestassia jika beliau tahu apa yang boleh menyebabkan kecederaan pada mayat dan menemui sebarang senjata yang mungkin digunakan untuk menyebabkan luka dalam di kepala itu.

“Saya tidak pasti (mengenai corak kecederaan) dan saya tidak menemui sebarang objek yang mungkin menjadi senjata pembunuhan,” katanya kepada mahkamah di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

“Saya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan memaklumkan pegawai kanan saya pada hari itu ia adalah insiden kematian mengejut dan beliau bersetuju,” tambah Anestassia.

Shafee kemudian bertanya Anestassia jika beliau tahu kes itu diklasifikasikan semula sebagai pembunuhan beberapa bulan kemudian.

“Saya hanya tahu kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh pada Ogos,” katanya.

Selepas kes itu diklasifikasikan semula, beliau juga mengambil kenyataan daripada isteri Nazrin, Samirah Muzaffar beberapa kali.

“Saya mencatatkan kenyataannya beberapa kali,” katanya. – 27 September, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen