
PAKATAN Harapan (PH) gagal menangani retorik perkauman dan agama dengan baik sejak ia mengambil alih Putrajaya lebih 500 hari yang lalu, kata ketua kumpulan agama bukan Islam.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya banyak menumpukan isu ekonomi, membanteras rasuah dan menyelesaikan hutang negara yang banyak, tetapi tidak banyak usaha yang dilakukan untuk menangani isu kaum dan agama.
Kumpulan agama bukan Islam ini berkata PH tidak harus hanya berikrar mengamalkan dasar menghormati kepelbagaian agama di negara ini sebaliknya mengotakan apa yang dijanji.
Menurut mereka, di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah sedia ada struktur untuk pelbagai budaya di Malaysia tetapi apa yang diperlukan ialah usaha mengukuhkan perpaduan sosial dan keterlibatan serius dalam mendapatkan pandangan kumpulan agama minoriti.
“Kami harapkan kerajaan buat lebih baik,” kata Timbalan Presiden Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), R.S. Mohan Shan.
“Tidak banyak perubahan dalam keharmonian negara sejak 500 hari kerajaan mentadbir.
“Kerajaan sepatutnya beri perhatian kepada toleransi agama. Kita faham kalau mereka lebih fokus kepada isu berkenaan Islam, tetapi mereka juga perlu ambil berat kepada agama lain, seperti peka kepada sensitiviti agama lain untuk mengelak berlakunya sebarang masalah,” kata Mohan kepada The Malaysian Insight.
Beliau memberi contoh beberapa perkara yang Putrajaya perlu teliti dengan lebih mendalam termasuk dalam isu pendakwah Dr Zakir Naik yang diberi taraf penduduk tetap, dan pengenalan tulisan khat Jawi kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan.
Walaupun memahami isu-isu ini diwarisi dari kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau mempersoalkan mengapa perlu dibangkitkan sekarang.
Selain isu tulisan khat dan kontroversi Zakir yang didakwa menghina masyarakat Cina dan Hindu dalam ucapannya, kempen membeli prosuk Muslim menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan rakyat.
Terutamanya apabila terdapat pihak yang mempromosikan kempen memboikot produk dan perkhidmatan bukan Muslim susulan isu khat mendapat bantahan.
Dalam politik, parti komponen PH iaitu DAP dituduh sebagai “komunis”, mempunyai “agenda Kristianisasi” dan mengawal parti Melayu dalam PH.
Kerjasama antara Umno dan PAS yang secara rasmi dimeterai baru-baru ini juga menimbulkan kebimbangan terhadap politik perkauman dan agama. – 27 September, 2019.
Komen