Gobind cadang jawatankuasa khas Parlimen tangani berita tidak benar


Diyana Ibrahim

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2019.

KERAJAAN patut menubuhkan sebuah lagi jawatankuasa pilihan khas di Parlimen untuk menangani isu berita tidak benar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya, beliau akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Dewan Rakyat dijadual bersidang bermula 7 Oktober ini, yang akan memberi tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2020.

“Saya harap dapat dibawa secepat mungkin(kabinet) dan di Parlimen sesi kali ini.

“Saya harap kita dapat laksanakan segera jika cadangan ini diterima di kabinet,” katanya di Subang Jaya, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri dialog mengenai kebebasan media dan berita palsu anjuran Universiti Sunway.

Menurut Gobind, cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan khas itu beliau fikirkan atas kebimbangan perlunya kerajaan menangani segera isu berita tidak benar dan mengambil pandangan semua pihak.

“Saya fikir kebimbangan kita adalah mencari kaedah untuk menangani salah guna sosial media. Salah satunya adalah cadangan penubuhan jawatankuasa dengan terma yang lebih jelas sebagai rujukan.

“Berdasarkan itu juga saya rasa penting untuk kita cari juga mekanisme yang mengambil kira semua pandangan rakyat Malaysia,” katanya

Ditanya apakah idea jawatankuasa pilihan khas itu bercanggah dengan usaha kerajaan memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018, Gobind menjelaskan, ia dua perkara yang berbeza.

Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 memansuhkan akta berkenaan, empat bulan selepas pentadbiran kerajaan di bawah Barisan Nasional mewartakannya sebagai undang-undang.

Pemansuhan itu bagaimanapun ditolak oleh Dewan Negara.

Sejak itu, kerajaan beberapa kali menegaskan akta itu tetap akan dimansuhkan tetapi bukan pula bermakna ia bertolak ansur terhadap berita tidak benar. – 26 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen