BEKAS perdana menteri Najib Razak bertemu sendiri bekas CEO Goldman Sachs Llyod Craig Blankfein pada Novembr 2009 untuk meraih sokongan bank pelaburan itu terhadap 1MDB, kata saksi di mahkamah tinggi hari ini.
Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa Najib yang juga menteri kewangan ketika itu mengadakan pertemuan dengan pelabur di New York.
Shahrol menyertai rombongan kerajaan itu yang juga disertai bekas pengerusi 1MDB Che Lodin Wok Kamarudin. “Orang tengah 1MDB” Low Taek Jho- atau Jho Low- pula menunggu mereka di New York.
Keesokkan harinya pada 22 November 2009, kumpulan itu menyertai mesyuarat antara Najib dengan Blankfein yang diadakan di Hotel Four Seasons.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan mencecah RM2.3 bilion daripada 1MDB. Beliau juga berdepan 21 pertuduhan penggubahan wang haram jumlah duit yang sama. Jika disabitkan bersalah, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
“Jho Low dan Tim Leissner (ketika itu CEO Goldman Sachs Asia) adalah orang tengah pertemuan itu,” kata Shahrol ketika sesi soal balas tengahari tadi.
“Saya boleh nampak ketika itu yang Jho Low dan Tim Leissner sangat rapat, berdasarkan bahasa badan dan nada perbualan mereka,” tambahnya.
Antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan Najib dan Blankfein adalah kemungkinan kerjasama antara 1MDB dan Goldman Sachs untuk mendapatkan pelaburan asing bagi bidang kepentingan 1MDB seperti hartanah, sektor tenaga, pelancongan dan pertanian.
Shahrol berkata Najib meminta Blankfein untuk “menyokong dan merunding” pelaburan 1MDB disebabkan kepakaran Goldman dalam pelaburan dan kewangan.
“Perdana menteri (Najib) meminta komitmen Goldman Sachs kepada 1MDB. Selepas pertemuan itu, keyakinan saya terhadap sebarang urus niaga kewangan dengan Goldman Sachs melonjak.”
Dalam pertemuan itu juga, Jho Low mencadangkan pelantikan Goldman Sachs sebagai penasihat untuk aspek kewangan dan pelaburan 1MDB.
“Saya ingat ia dibuat dalam pengetahuan perdana menteri….saya terima cadangan kerana percaya disebabkan mesyuarat peringkat atasan baharu sahaja dijalankan.” – 26 September, 2019.
Komen