MCA akan membincangkan soal Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai dengan parti komponen lain Barisan Nasional selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, kata Presiden Wee Ka Siong.
“Saya sudah berjumpa presiden BN (Ahmad Zahid Hamidi) pagi ini untuk berbincang isu PRK Tanjung Piai. Selepas SPR umumkan tarikh pada 1 Oktober, kita akan adakan mesyuarat BN, yang mana semua pemimpin BN akan hadir,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA hari ini.
MCA mentadbir Tanjung Piai selama tiga penggal daripada empat pilihan raya sejak ia dibentuk pada 2003.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya MCA akan diberikan kerusi itu selepas prestasi buruknya pada PRU14 lepas yang menyaksikan tsunami pengundi Cina beralih kepada Pakatan Harapan.
Umno sudah meluahkan hasrat bertanding di situ, yang merupakan kerusi campuran 57% pengundi Melayu, 42% Cina dan 1% India.
Mengulas isu itu, Wee berkata menjadi kebiasaan untuk semua parti menawarkan diri untuk bertanding bila berlakunya pilihan raya kecil.
“Kami percaya (semua parti) akan menyokong proses (memilih calon) dan akan terdapat perbezaan pandangan atau idea.
“Tetapi, sebaik kepimpinan buat keputusan, semua akan menghormati dan mematuhinya,” katanya.
Pada PRU14 lalu, calon MCA Wee Jeck Seng yang juga penyandang dua penggal kerusi itu tewas kepada calon Pakatan Harapan daripada Bersatu Dr Md Farid Md Rafik dengan marjin tipis 524 undi.
Md Farid meraih 21,255 undi, bagaimanapun sekiranya undi calon PAS Nordin Othman dan Wee digabungkan ia boleh mencecah 23,693 undi.
Kerusi itu kosong selepas kematian Md Farid minggu lepas kerana serangan sakit jantung.– 26 September, 2019.
Komen