Pakatan teruskan usaha 'Selamatkan Malaysia'


Sheridan Mahavera

Kleptokrasi akan menjadi isu penentu pada pilihan raya ini dan menyedarkan rakyat kesan penyelewengan dilakukan Barisan Nasional jika mereka tidak dihentikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2017.

“SELAMATKAN Malaysia” akan terus menjadi slogan yang dilaungkan Pakatan Harapan (PH) bagi kempen menjelang pilihan raya umum dan melangkaui perhimpunan kleptokrasi yang berakhir semalam.

Slogan itu akan digunakan dalam ceramah dan program PH bersama manifesto pakatan pembangkang dan dasar yang ingin dilaksanakan jika terpilih.

Janji-janji ini termasuk perjanjian baru untuk Sabah dan Sarawak, dasar hubungan luar negara, ekonomi dan golongan belia, yang semuanya telah diumumkan sebelum ini.

Ketua Setiausaha Agung Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah berkata gabungan itu telah mengumumkan pembaharuan institusi dan langkah-langkah untuk menangani rasuah.

Mesej penting ialah PH mahu menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran kleptokrasi Barisan Nasional (BN) dan manifestonya akan memperincikan bagaimana ia akan dilakukan, kata pemimpin PH yang lain Khalid Samad.

“Kami akan menjadikan kleptokrasi sebagai isu penentu pada pilihan raya ini dan kami ingin menegaskan yang rakyat akan menerima padahnya bagi penyelewengan dilakukan BN jika mereka tidak dihentikan,” kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

Program siri ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” PH menyaksikan para pemimpin atasannya menjelajah seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kesannya kepada rakyat Malaysia biasa.

Acara jelajah itu biasanya dikemudi oleh bekas perdana menteri yang menjadi ahli politik pembangkang Dr Mahathir Mohamad, di samping tayangan slaid oleh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Kemuncak program jelajah yang berlangsung tiga bulan itu diakhiri dengan perhimpunan di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Saifuddin berkata gabungan itu memilih mendedahkan sebahagian manifesto dan platform polisinya secara berperingkat, berbanding pengumuman besar semasa tempoh kempen pilihan raya.

Antara janji-janji yang dibuat PH jika ia berkuasa setakat ini adalah:

* Memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
* Membuka semula penyiasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menuntut semula aset yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri daripada firma pelaburan negara itu.
* Mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal.
* Melantik seorang timbalan perdana menteri khusus untuk Sabah dan Sarawak.
* Memberi Sabah royalti petroleum 20% dan  autonomi kepada Malaysia Timur untuk menentukan dasar pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

Dua hari sebelum kerajaan membentangkan belanjawan 2018, PH akan memperkenalkan beberapa bahagian polisi ekonominya melalui pengumuman belanjawan alternatif untuk Malaysia, kata Saifuddin.

Pada Disember, satu lagi komponen manifesto akan didedahkan pada konvensyen pakatan, katanya.

“Berdasarkan pengalaman kami, jika anda mengumumkan seluruh manifesto semasa tempoh rasmi berkempen, hanya ada sedikit masa untuk orang meneliti dan mencernanya,” kata Saifuddin.

“Oleh itu, kami memutuskan kami akan membentangkan sebahagiannya supaya orang ramai boleh memikirkannya, mengulas, mengkritik dan kami boleh bertindak balas terhadap maklum balas tersebut.”

“Jika kita mengumumkan semuanya sekali gus, rakyat tidak akan mempunyai masa menelitinya.”

Bagaimanapun, manifesto lengkap yang menyatukan semua cadangan dasar akan diumumkan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, kata Saifuddin. – 15 Oktober, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen