
SEBAHAGIAN orang Melayu di kawasan Melayu tidak rasa kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) mengubah hidup mereka walaupun sudah lebih 500 hari pentadbiran negara bertukar dalam pilihan raya umum bersejarah pada Mei 2018.
Sentimen itu juga mengesahkan pola sokongan Melayu kepada PH, seperti yang dirumuskan oleh badan kajian politik Ilham Centre, iaitu hanya seorang daripada empat pengundi Melayu memilih parti itu di negeri majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Dalam satu tinjauan rambang The Malaysian Insight di beberapa kawasan di Perlis, Kedah dan Seberang Perai, mereka memberitahu isu-isu yang membelenggu orang Melayu masih belum kerajaan selesaikan.
Mereka membandingkan misalnya bantuan kerajaan yang lebih baik sebelum ini semasa Barisan Nasional memerintah berbanding sekarang.
Muhammad Zaidi Shaharuddin, 47, berkata bantuan yang dinikmatinya semasa BN memerintah kini tidak lagi dirasai di bawah PH.
Beliau mendakwa kali terakhir mendapat bantuan tunai melalui Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pada 2018 sebanyak RM1,200, yang dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada tahun itu.
“Saya BR1M pun dah tak dapat untuk tahun 2019. Saya ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) beberapa kali dan mereka minta pelbagai dokumen, tapi masih tak dapat.
“Saya rasa meluat untuk minta bantuan lagi.
“Elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 sebulan pun saya tidak dapat lagi sejak tahun ini,” katanya yang hampir 30 tahun jadi nelayan di Kuala Muda, Kedah.
Seorang jurutera Ammar Zainal Abidin, 25, pula menganggap rakyat macam tertipu kerana sehingga hari ini kerajaan tidak juga mengotakan janji dalam manifesto pilihan raya.
“Contohnya janji untuk mansuhkah tol, ramai yang tertarik terutama orang yang di luar kemampuan.
“Tapi hingga sekarang, tidak dimansuhkan.
“Bagi mereka yang tidak mampu sudah tentu akan terkesan, mereka mungkin mengundi PH kerana tawaran yang dijanjikan itu,” katanya, yang ditemui di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Bagaimanapun ada dalam kalangan pengundi Melayu yang sedia memberi ruang dan peluang kepada Pakatan untuk melaksanakan janji perubahan.
“Buat masa ini, PH baru memerintah sebagai kerajaan. Kita pun faham masalah kewangan yang dihadapi negara.
“Jadi, masih terlalu awal untuk hukum kerajaan PH, perlu bagi masa,” kata Rohaida Ismail, 34, penjaja air kelapa di Kulim, Kedah.
Namun sebagai penjaja kecil, Rohaida berkata beliau belum nampak bagaimana kerajaan sekarang membantu menaikkan ekonomi orang Melayu yang berniaga kecil-kecilan.
“Bagi saya, PH perlu bantu peniaga kecil dan penjaja tepi jalan. Tolonglah sediakan lesen khas kerana kami tak mampu buka kedai yang lebih besar.
“Lesen bukannya mahal, tapi setiap kali mohon, mesti ditolak dan pihak majlis pula saman sampai RM200. Saman RM200, untung kami kadang-kadang hanya RM20 sehari,” katanya.
Ada juga dalam kalangan orang Melayu melihat pengaruh DAP terlalu kuat dalam Pakatan sehingga mencetuskan rasa bimbang kepentingan Melayu dan Islam tergugat.
Mereka menyebut larangan berceramah ke atas pendakwah dari India, Zakir Naik antara contoh bagaimana Islam digugat.
Mereka juga melihat kempen utamakan barangan keluaran Muslim atau Buy Muslim First (BMF) sebagai antara reaksi balas orang Melayu dalam menghadapi suasana yang mereka anggap menekan.
“Apabila ada kempen BMF, maknanya memang realiti orang Melayu agak tergugat kerana dahulu, tiada kempen seperti ini,” kata Muhamad Irfan Nafis Mohd Rafizi, 21, yang ditemui di Arau, Perlis.
Irfan juga menambah orang Melayu tidak selesa dengan DAP yang dilihat tidak mesra Melayu dan Islam.
Ahmad Fazin Shoib, 56, peniaga makanan dari Kulim, Kedah pula mengaku menyesal mengundi PH pada pilihan raya umum lalu kerana kini, dakwanya, DAP yang nampak dominan dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya undi PH dahulu tapi sekarang rasa menyesal. Untuk PRU akan datang, saya lebih pilih Umno dan Pas,” katanya, merujuk kerjasama baru dua parti Melayu itu.
“Saya kecewa dengan PH kerana mereka kini tidak jaga kepentingan Melayu, nampak seolah-olah tersisih dan diabaikan,” jelasnya.
Namun seorang pemandu pelancong dari Nibong Tebal, Abu Kassim Abu Bakar, 67 pula beranggapan, sentimen perkauman kononnya orang Melayu tergugat di bawah PH hanyalah suara orang politik yang memerlukan sokongan Melayu.
“Pada saya yang mengatakan orang Melayu tergugat, itu tidak benar. Yang cakap seperti itu hanya mahu sokongan politik (orang Melayu).
“Saya puas hati dengan PH, kita tiada lagi isu curi duit rakyat dan rasuah,” jelas beliau.
Pada 14 September lalu, Umno dan PAS memeterai perjanjian kerjasama politik rasmi atau muafakat nasional atas nama Melayu dan Islam.
Minggu lepas, Ilham Centre dalam laporannya mengenai pola sokongan politik Melayu merumuskan kerjasama Umno-PAS yang mengangkat naratif Melayu dan Islam boleh menggugat PH pada pilihan raya umum akan datang.
“Namun adakah isu atas nama perkauman dan agama ini kekal menjadi relevan dan signifikan menjelang PRU 15 akan datang dan dalam konteks Malaysia Baru?,” kata Ilham Centre. – 26 September Ogos, 2019.
Komen