Jumlah hutang dijamin kerajaan membimbangkan, kata Jomo 


Ragananthini Vethasalam

Profesor Jomo Kwame Sundaram berkata, hutang yang diberikan jaminan kerajaan ini dibuat tanpa sebarang pengawasan oleh parlimen.– Gamba fail The Malaysian Insight, 26 September Ogos, 2019.

JUMLAH yang tinggi hutang dijamin kerajaan menjadi kebimbangan kerana rakyat mungkin akan menanggung kesannya, kata bekas pegawai kanan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Profesor Jomo Kwame Sundaram.

Menurutnya, sejak 10 tahun lalu, jaminan kerajaan Malaysia ke atas hutang meningkat tiga kali ganda.

Beliau juga menegaskan hutang yang diberikan jaminan kerajaan ini dibuat tanpa sebarang pengawasan oleh parlimen.

“Di Malaysia contohnya dalam dekad lalu hutang yang dijamin kerajaan meningkat tiga kali ganda.

“Hutang yang dijamin kerajaan tidak melalui Parlimen. Ia memang tidak memerlukan kelulusan parlimen tetapi tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu menanggung akibat daripada hutang yang dijamin kerajaan,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Laporan Persidangan PBB Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2019.

Ketika mendedahkan laporan kepada pemberita, Jomo berkata dalam konteks tempatan selain daripada terlibat hutang langsung kerajaan, rakyat Malaysia juga akan terkesan dengan hutang yang dijamin kerajaan yang dibuat oleh syarikat berkaitan kerajaan.

Menyentuh mengenai hutang korporat, Jomo berkata adalah penting bagi memastikan hutang itu menyumbang kepada pembangunan.

“Satu perkara yang kita perlu cuba pastikan adalah pertumbuhan dalam hutang korporat sebenarnya menyumbang kepada pembangunan.

“Tapi kamu dapati peningkatan dalam hutang korporat swasta mungkin hanya menyumbang sedikit kepada pembangunan,” katanya.

Beliau berkata mengawal selia bank biasa semata-mata tidak mencukupi, kerana terdapat banyak cara untuk hutang terbentuk dalam era globalisasi.

Ini penting dalam landskap semasa bagi sektor kewangan, yang mana perbezaan antara bank perdagangan dan bank komersil telah dipecahkan dengan kemunculan perbankan sejagat dan ekonomi digital. – 26 September Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen