KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador sudah mendapatkan nasihat pihak berkuasa agama dan mufti berhubung kedudukan anak perempuan M Indira Gandhi yang dilarikan bekas suaminya ke luar negara.
Katanya, pihak polis masih berusaha untuk memastikan perintah mahkamah supaya Muhammad Riduan Abdullah menyerahkan kanak-kanak itu, Prasana Diksa, yang kini berumur 12 tahun, kepada ibu kandungnya dikuatkuasakan.
“Saya secara diam-diam berinteraksi dengan pihak mufti dan jabatan agama, mendapatkan pandangan mereka.
“Saya juga bawa kepada perhatian kerajaan tentang misi yang saya nak bawa supaya anak ini tadi dapat ditemukan dengan ibunya dan bekas suami ini dan anak-anak, serta isterinya yang lain dapat kembali tinggal dalam negara dalam suasana aman dan tidak perlu terpaksa menyorok,” kata Hamid dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas diwawancara dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian.
Pada sidang media itu, Hamid mengulangi pendiriannya mahu kes ini berakhir dengan gembira buat keluarga Indira.
Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa khuatir terhadap nasib anak-anak Indira yang terpaksa menetap di negara asing tanpa sebarang keistimewaan.
“Mereka duduk di negara asing. Apa yang dia boleh buat, dia bukan rakyat negara itu. Dia tidak akan dapat keistimewaan negara itu.
“Apabila balik ke sini, kita akan buat keputusan dan akhirnya semua pihak puas hati dan gembira.
“Tapi kita mesti ingat sensitiviti hati seorang ibu yang terpisah dengan anak.
“Saya rasa menjadi tanggungjawab polis untuk menguatkuasakan perintah mahkamah demi kebajikan,” kata Hamid lagi.
Pada 1 Ogos lalu, Hamid menyatakan kesediaan bertemu Indira dalam usaha polis mengesan bekas suaminya Riduan dan anak perempuan bongsunya Prasana.
Sejak 10 tahun lepas, Indira mengheret kes tukar agama anak-anaknya ke mahkamah atas dengan alasan dibuat secara tidak sah.
Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengesahkan tindakan Riduan itu tidak sah kerana dibuat secara sepihak tanpa kebenaran Indira. – 25 September, 2019.
Komen