KEMATIAN Orang Asli di Kampung Kuala Koh, di Gua Musang, Kelantan adalah kerana demam campak, dan bukan akibat pencemaran air sungai, kata menteri kesihatan.
Dr Dzulkefly Ahmad berkata laporan forensik Kementerian Kesihatan menunjukkan ada pencemaran sungai tetapi ia tidak sampai membawa maut.
“Ujian dibuat tentukan kehadiran logam berat tapi dapatan kami, kehadiran logam berat tidak sampai ke peringkat boleh bawa maut. Ia bukan menjadi punca kematian.
“Secara rangkum keseluruhannya, punca kematian Orang Asli di Kuala Koh tetap adalah demam campak,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dzulkefly hari ini membentangkan laporan siasatan kementerian terhadap 16 kematian Orang Asli suku Batek melibatkan 15 kes di Kuala Koh, Kelantan dan 1 kematian di Terengganu.
Katanya, daripada 16 kematian itu, empat disahkan akibat demam campak, lapan mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak, sementara empat lagi tidak dapat ditentukan punca kematian ekoran tahap pereputan yang teruk.
Jelasnya lagi, ujian mengesan kehadiran logam berat, mikro organisma dan racun perosak bagi menentukan berlakunya pencemaran diambil berdasarkan sampel persekitaran seperti sumber air minum, tanah dan makanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak (kolam takungan), air sungai dan air telaga mematuhi nilai piawaian kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun perosak,” katanya.
Menurut Dzulkefly, laporan siasatan juga mendapati wabak dan kematian demam campak berpunca liputan imunisasi dan tahap nutrisi yang rendah dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.
“Ini disumbang cara hidup yang sering berpindah dan adat memasuki hutan akibat sakit atau kematian di kalangan Orang Asli,” katanya.
Berita mengenai wabak itu pertama kali dilaporkan pada 3 Jun lalu apabila Orang Asli di Kuala Koh mendakwa mereka dilanda penyakit misteri yang menyebabkan kematian.
Pada 17 Jun, Kementerian Kesihatan mendedahkan ujian makmal yang dijalankan terhadap tiga mayat Orang Asli dari suku Batek meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak. – 25 September, 2019.
Komen