Greenpeace dedah Kumpulan Genting terlibat bakar hutan, Indonesia tak bertindak


Pembakaran tanah ladang di Indonesia kini menimbulkan krisis tahunan yang dinanti-nanti penduduk Asia Tenggara. – Gambar EPA, 25 September, 2019.

KERAJAAN Indonesia tidak bertindak ke atas sepuluh syarikat kelapa sawit yang bertanggungjawab melakukan pembakaran tanah terbesar di negara itu, kata kumpulan alam sekitar Greenpeace.

Greenpeace Malaysia berkata analisis pemetaan yang dilakukan Greenpeace Indonesia mendedahkan yang anak syarikat Genting Plantation Bhd, PT Globalindo Agung Lestari adalah salah sebuah daripada sepuluh syarikat itu.

“Sepuluh syarikat minyak sawit dengan kawasan tanah terbakar terluas antara 2015 dan 2018 tidak dikenakan hukuman berat sivil atau pentadbiran, dedah analisis pemetaan terbaru Greenpeace Indonesia.

“Kumpulan Genting milik Malaysia menerusi anak syarikatnya PT Globalindo Agung Lestari, didapati salah sebuah daripada sepuluh syarikat yang mempunyai kawasan terbakar terluas di Indonesia,” katanya.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Genting Plantations Bhd dan sedang menunggu ulasan mereka terhadap laporan itu.

Dilaporkan juga, lesen syarikat sawit sepuluh syarikat itu juga tidak dibatalkan, malah mereka juga tidak dikenakan hukuman berat.

Siasatan Greenpeace Indonesia awal tahun ini menunjukkan tiada satupun syarikat yang diheret ke mahkamah oleh kerajaan kerana peranan mereka dalam pembakaran hutan dan pembalakan haram membayar pampasan. Jumlah pampasan kini mencecah AS$1.2 bilion (RM5.02 bilion).

Malah, sebahagian syarikat itu berulang kali melakukan pembakaran tanah dan hutan, tetapi tidak dikenakan hukuman berat.

Tahun ini, titik merah kebakaran dikesan berada dalam kawasan ladang dan konsensi sawit yang sama, kata Greenpeace lagi.

Untuk pengeluaran pulpa, kawasan lebih luas daripada Singapura yang terbakar antara 2015 dan 2018, dikaitkan dengan Asia Pulp and Paper (APP) yang merupakan sebahagian daripada gergasi korporat Indonesia, Kumpulan Sinar Mas.

APP bertanggungjawab ke atas lebih 200 titik merah kebakaran tahun ini sahaja. – 25 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen