PROJEK perumahan baharu di Kledang, Perak akan dibina bersebelahan dengan tempat simpanan sisa radioaktif daripada bekas loji pemprosesan nadir bumi, mengejutkan kumpulan aktivis, bagaimana pihak berkuasa boleh meluluskan projek kediaman di tapak itu.
Penduduk tempatan di Ipoh yang menubuhkan kumpulan pemantau, Kinta Valley Watch mempersoalkan lokasi projek itu yang didakwa hanya 1.7km dari tempat simpanan sisa dari loji Asian Rare Earth Sdn Bhd (ARE) di Kledang.
Kerja pembersihan tanah sudah bermula dan rumah contoh untuk perumahan itu sudah pun siap sedia di tapak pembinaan.
Kinta Valley Watch mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berkenaan status projek itu, bagaimana ia diluluskan dan langkah keselamatan yang sudah diambil.
Seorang ahli kumpulan itu, Ching Boon Tat berkata mereka bimbang apabila projek perumahan itu diluluskan walaupun kedudukannya dekat dengan tempat simpanan sisa bahan radioaktif.
“Bagaimana pihak berkuasa boleh luluskan projek itu? Kami bimbang dengan stor simpanan yang terletak dekat dengan projek itu.”
Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bahawa stor simpanan jangka panjang (LTSF) itu, tidak berisiko tinggi.
Menteri Besar Incorporated (MB inc) memberitahu The Malaysian Insight sebelum ini bahawa LTSF di Kledang itu ditutup selepas proses penyahtauliahan loji ARE selesai pada 2005, di mana sisa loji itu dan bahan radioaktif di dalam stor berkenaan.
Berdasarkan kepada inventori akhir LTSF, terdapat kira-kira 50,000 tong mengandungi sisa torium hidroksida dan 37,000 bahan tercemar.

The Malaysian Insight tidak dibenarkan masuk ke kawasan stor simpanan itu ketika berkunjung ke sana baru-baru ini.
Loji ARE di Bukit Merah dipaksa tutup pada 1992 selepas menerima tekanan daripada dalam dan luar negara kerana sisa radioaktifnya, selepas penduduk di kawasan itu jatuh sakit, termasuk kes leukemia dan kecacatan fizikal bagi bayi baru lahir.
Ching turut mempersoalkan sama ada pembeli rumah berkenaan tahu bahawa bakal rumah mereka itu akan terletak berhampiran dengan stor simpanan sisa radioaktif.
“Kami harap kerajaan negeri akan mengkaji isu ini. Orang ramai perlu tahu projek perumahan itu dekat dengan tempat radioaktif,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Satu lagi kebimbangan ialah 500 meter daripada zon penampan di sekeliling stor simpanan itu, di mana MB Inc berkata ia diputuskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini, pada April 2014.
Ia tidak menepati syor Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) untuk zon penampan 1.7km, di mana ia akan merentangi dari stor itu ke Lebuhraya Ipoh-Lumut.
Di sebalik sejarah kawasan itu, 80% rumah setingkat dalam projek itu sudah dijual, menurut maklumat diperoleh The Malaysian Insight dari rumah contoh.
Ketika dihubungi sekali lagi berkenaan projek perumahan akan datang, MB Inc merujuk persoalan tentang kelulusan projek perumahan itu kepada pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah dan Galian.
The Malaysian Insight ada menghubungi Pejabat Tanah dan Galian dan masih menunggu jawapan.
MB Inc, ketika ditanya tentang projek perumahan itu turut memberitahu The Malaysian Insight bahawa ia menjalankan lawatan tapak ke Kledang pada Jumaat dan ia menjalankan ujian berjadual untuk memastikan tidak ada pencemaran dari stor simpanan itu.
Jurucakap MB Inc yang enggan dinamakan, berkata beliau difahamkan pegawai dari LPTA sudah melawat stor simpanan di Kledang, untuk memastikan sisa yang disimpan di dalamnya masih dalam keadaan elok tersimpan. – 25 September, 2019.
Komen