DEKAD Malaysia Membaca (DMM) adalah dekad membina pembangunan minda negara melalui perbukuan. Idea ini menzahirkan teras budaya membaca sebagai aset kematangan berfikir. DMM akan bermula dari 2021 hingga 2030.
Kempen DMM pasti bermula dengan gendang yang akan dipalu ke seluruh dunia apabila Kuala Lumpur diisytihar Kota Buku Dunia Unesco 2020 pada April tahun depan.
Apa pun, kita jengah sebentar realiti penerbitan buku di negara ini. Sebelum meneliti angka dan fakta lebih besar, kita jengok dulu tragedi industri buku bulan ini.
Anggap ini hanya satu anekdot. Ia bukan kayu ukur tahunan. Namun, insiden ini mampu memberikan gambaran – betapa teruknya industri buku hari ini.
Attoks Dikulgai nama penyair muda. Minggu lalu, antologi puisinya ‘Sakar Madumu yang Telah Kuhirup Adalah Racun Paling Durjana Dalam Hidup’ diterbitkan Studio Anai-anai.
Cetakan awal hanya 20 naskhah. Satu realiti kemeruduman keyakinan. Penerbit mencetak untuk mempromosi jualan dan hanya akan menambah cetakan apabila ada pra pesanan.
Pada 12 September lalu, penerbit novel Salina, Helmy Samad turut mengumumkan: tempahan edisi khas 60 tahun novel Salina karya Sasterawan Negara (SN), A Samad Said kini dicetak semula.
Pra pesanan setakat 12 September hanya 200 naskhah. Jurang prestij antara Samad sebagai sasterawan negara dan mudanya Attoks sebagai penyair memang ketara jauhnya. Ibarat langit dengan bumi. Namun, dalam perbukuan, nasib mereka sama.
Zaman buku pencerah minda
Era Khalifah Harun Al Rasyid dikenang sebagai zaman kemuncak kegemilangan ilmu dalam peradaban Islam. Pembinaan perpustakaan pertama Baitul Hikmah pada 813 Masihi di kota Baghdad.
Harun Al Rasyid melihat dakwah Islam tidak akan kekal mapan sekiranya sekadar melalui peluasan empayar. Islam harus menyumbang terutama mengeluarkan Eropah daripada lingkaran zaman gelapnya.
Ini idea Harun Al Rasyid yang mencetuskan fenomena tamadun intelektual yang baharu. Perpustakaan Baitul Hikmah secara akademik meliputi skop yang luas.
Baitul Hikmah dalam metodologi Harun Al Rasyid ialah pusat sains, antropologi, astrologi, perubatan, matematik, sastera dan bahasa.
Baitul Hikmah pertama di Baghdad, akhirnya meluas ke Damsyik, Kaherah dan Granada. Modelnya menjadi teras pembangunan minda dan penerokaan Islam dalam bidang perubatan, astronomi, matematik, sains, muzik dan sastera.
Konsep Baitul Hikmah melahirkan Al Biruni, Ibnu Batuta, Al Farabi, Al Khawarizmi, Al Khindi, Ibnu Haitam, Ibnu Sina, Al Ghazali dan ratusan cendikiawan Islam lahir dalam peradaban ilmu.
Cabaran menanti iltizam Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pencetus idea DMM. Apa pun, cabaran melaksanakan idea ini pasti besar.
DMM muncul ketika angka penerbitan judul buku terus menurun. Manakala, jumlah cetakan per judul pula kekal merudum. Pada awal dekad 2000-an, novel popular mampu mencecah 50 ribu cetakan. Komuniti indie pula mencetak antara 5 ribu hingga 15 ribu naskhah per judul.
Hari ini, cetakan 1,000 naskhah karya sastera tulen sudah dianggap angka yang besar. Novel setebal 200 ke 250 muka surat dijual sekitar RM25 sebuah.
Lebih ngeri, jumlah jualan tulen yang laku hanya sekitar 200 hingga 500 naskhah. Kalau stoknya habis di pasaran, itu tanda penulis membelinya semula dengan diskaun 50%.
Setelah dibeli, ratusan buah buku hanya dilambakkan di bawah tangga. Penulis sendiri tiada ruang mencari pasaran.
Kemeruduman industri buku satu realiti yang ada bukti. Pada 2017, total buku yang dicetak ialah 17,213 judul. Angka ini mengejutkan kerana jumlahnya menurun 2,379 judul. Pada tahun 2016, total cetakan ialah 19,592 judul.
Angka 2018 sukar disahkan. Namun, tidak aneh kalau jumlahnya menurun sekitar 15,000 judul. Industri buku sedang menuju hari mati. Pengkaji menuding jari pada saingan perbukuan digital. Namun, ia hanya tanggapan tanpa bukti.
Melalui DMM, Maszlee mahu merangka satu rekayasa cetak biru yang baharu. Ini demi masa depan industri perbukuan sejajar dengan aspirasi DMM. Namun, misinya pasti tercalar kalau setiap tahun kita berdepan dengan kejatuhan jumlah judul sekitar 15%.
Kempen DMM pasti akan memulakan momentum pada tahun depan sempena pengisytiharan Kuala Lumpur Kota Buku Dunia Unesco 2020 (KLWBC).
Anehnya, hingga hari ini, pemain dan pemegang taruh perbukuan masih bingung mengenai hala tuju KLWBC. Belum ada pihak tampil mengumumkan pelan besar agenda ini. Ia masih misterius.
Malah, seperti selalu, kita sudah boleh menduga. Semua pihak selesa untuk mendiamkan diri. Semua bersikap tunggu dan lihat. Kalau pun KLWBC disergah yang perlu menjawab ialah Maszlee.
September tahun lalu, Maszlee menyatakan harapannya: “Kementerian Pendidikan mahu menyemarakkan program gerakan membaca.”
Maszlee menghidupkan semula harapan, setelah kempen DMM selama dua dekad sebelum ini hanyalah satu kegagalan. Jangan tanya soalan ini pada DBP: Jawapannya nanti jadi teks realisme magis yang menyakitkan hati.
Mengenai DMM, Maszlee kelihatan sendirian walaupun sudah setahun mengumumkannya. Maszlee mahukan rekayasa cetak biru yang lebih holistik setelah DMM yang dimulakan sejak dua dekad lalu ternyata lesu.
“Kita perlu merangka pendekatan baharu yang lebih mantap dan agresif bagi menarik masyarakat mencintai dunia buku dan kebugaran membaca,” katanya.
Kajian buktikan Malaysia corot
Kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) pada 2016 meletakkan Malaysia di tangga 53. Agak jauh terkebelakang berbanding Singapura di tangga 36.
“Kerajaan sasarkan penerbitan buku mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada 2017,” kata Maszlee.
Iltizam besar Maszlee wajar dikejar dan dicapai. Apa ertinya menjadikan Kuala Lumpur Kota Buku Dunia kalau data budaya membaca terus menjunamkan lagi ranking Malaysia.
Persoalannya, tiga bulan lagi menjelang 2020, siapa sedang membantu Maszlee menyusun pelan penerbitan 31,700 judul? Jumlah ini penting bagi mencapai nisbah Unesco yang menyasarkan 1% judul bagi per kapita judul per 31.7 juta penduduk Malaysia.
Sekiranya data 2019 nanti menunjukkan hanya sekitar 15 ribu judul diterbitkan, apakah model penerbitan yang mampu melonjakkan 100% gandaan judul bagi merealisasikan iltizam Maszlee pada 2020?
Bagi gerakan DMM, usaha Maszlee merangsang minat Kumpulan Utusan. Pada 1 September, Projek Baitul Hikmah dilancarkan dengan matlamat membina 100 perpustakaan mini dalam 100 buah masjid.
Ini projek perintis bagi memastikan DMM turut diimarahkan di masjid-masjid. Sekali gus kembali pada idea ilmu era Harun Al Rasyid.
Sasaran utama projek Baitul Hikmah mendirkan perpustakaan dalam masjid di 100 petempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Ini pelan awal bagi rekakasa cetak biru untuk membolehkan buku dan ilmu diakses komuniti petempatan B40.– 25 September, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen