Putrajaya perlu labur dalam R&D bagi PKS, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Prof Edmund Terence Gomez berkata perusahaan kecil dan sederhana tidak mempunyai sumber sendiri untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2019.

PUTRAJAYA perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pertumbuhan sektor itu, kata pakar ekonomi.

Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya (UM) berkata ini kerana syarikat-syarikat ini tidak mempunyai sumber sendiri untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian memandangkan terdapat jangkaan bahawa Putrajaya akan mengumumkan belanjawan pengembangan bagi tahun 2020 untuk meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan domestik.

Gesaan Gomez itu juga mengulas cadangan Anwar Ibrahim untuk membantu perusahaan kecil apabila beliau menjadi perdana menteri kelak.

Pelaburan dalam R&D terutamanya dalam sektor pertanian akan menepati matlamat Putrajaya untuk merapatkan jurang kekayaan.

Gomez berkata antara sebab mengapa PKS enggan melabur dalam R&D ialah risiko dan kos yang tinggi sedangkan teknologi baharu dan pengetahuan yang diperolehi dari pelaburan itu sangat penting untuk mereka berkembang.

PKS yang tidak menambah baik operasi dan produk mereka menerusi R&D tidak akan berkembang dan gagal untuk bersaing di peringkat global, tambah nya.

PKS di Malaysia perlu berkembang menjadi gergasi industri seperti Samsung di Korea Selatan atau Sony di Jepun supaya mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan dengan kemahiran dan gaji yang tinggi yang diperlukan rakyat tempatan.

Kata pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM itu lagi, Putrajaya perlu sama ada melabur bagi R&D atau menghubungkan PKS degan institusi yang sudahpun membuat penyelidikan.

“Dalam jangka pendek, boleh jalin kerjasama dengan firma asing tetapi bagi hasil jangka panjang perlu dilakukan sendiri supaya kita belajar proses R&D itu sendiri,” jelas Gomez.

“Realitinya, jika bekerjasama dengan firma asing seperti yang kita buat pada Proton dulu, mereka tak pindahkan teknologi.” – 25 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen