USAHA berterusan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963, kata Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.
Timbalan presiden Parti Warisan Sabah itu menjelaskan Malaysia dibentuk atas perjanjian timbal balik antara penandatangannya bahawa persekutuan Malaysia akan kekal sekular.
“Dan, tidak ada variasi lain yang dapat dibuat tanpa mengkaji semula syarat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Leiking, BN perlu berhenti untuk mengawal persekutuan, dan menambah rakyat Sabah sudah muak dipaksa dengan perubahan Perjanjian Malaysia 1963.
Semalam, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembangunan Islam di negara ini yang diperkasakan dari semasa ke semasa menjadi petunjuk yang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak lari daripada tanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.
Leiking berkata pemimpin Malaysia sekarang perlu merujuk kepada perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman yang menetapkan Persekutuan Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara Islam.
Bekas Adun Petagas, James Ligunjang berkata, negara Islam bukanlah perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Kami tetap sekular seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia. Perjanjian Malaysia 1963 sangat penting kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Tidak patut ada percubaan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam seperti Arab Saudi selama Malaysia wujud,” kata Ligunjang, yang kini menjadi anggota kumpulan MySabah yang dibentuk oleh Menteri Luar Anifah Aman untuk membincangkan mengenai hak Sabah. – 14 Oktober, 2017.
Komen