Rombak dasar pertanian segera, kata Jomo


Diyana Ibrahim Mohd Farhan Darwis

Prof Jomo Kwame Sundaram berkata, isu pertanian yang ditanggung bebannya oleh kerajaan hari ini adalah masalah daripada dasar diwariskan oleh penjajah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 September, 2019.

SEKTOR pertanian memerlukan satu rombakan dasar yang menyeluruh kerana ia sedang berdepan dengan kemelut besar yang perlu ditangani segera, kata bekas Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Prof Jomo Kwame Sundaram.

Dengan menyebut penanam padi sebagai contoh, Jomo berkata, walaupun mereka menerima subsidi tinggi daripada kerajaan, namun golongan itu masih merupakan kategori paling miskin di Malaysia.

“Walaupun penanaman padi disubsidikan lebih daripada  60% oleh pihak kerajaan, kita dapati subsidi input… seperti baja dan sebagainya yang dibekalkan syarikat gergasi antarabangsa… tidak beri kesan baik merangsang penanaman padi.

“Yang beri kesan ialah apa yang dikatakan subsidi harga di mana harga ditukar kepada paras lebih tinggi daripada harga dunia,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia di Parlimen, hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen yang dipengerusikan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim, bersama Majlis Ahli-Ahli Penyokong Kerajaan dan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menurut Jomo, isu pertanian yang ditanggung bebannya oleh kerajaan pada hari ini adalah masalah daripada dasar yang diwariskan oleh penjajah.

Beliau memberikan contoh undang-undang tanah rezab Melayu yang mengikat petani untuk hanya menanam padi.

“Petani tidak dapat tanam lain selain daripada padi. Ini seolah- seolah konspirasi untuk mengikat pekebun kecil dan penanam padi untuk terus menanam padi,” katanya. 

Bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Berstu bagi pembangunan ekonomi itu juga berkata dasar perolehan makanan boleh membantu menangani isu yang sedang Malaysia hadapi sekarang.

Beliau memberikan contoh program makan tengah hari di sekolah yang boleh mendapatkan bekalan bahan mentah daripada petani kecil dan bukannya daripada syarikat besar.

“Ada cara lain juga. Kementerian Kesihatan sudah membuat percubaan di Johor dengan membekalkan vitamin dan suplemen di sekolah dengan kos RM2.40, iaitu 20 peratus lebih rendah daripada harga di Johor.

“Johor negeri paling mahal di Malaysia kerana tempias dari Singapura,” katanya.

Jelas beliau, usaha itu memerlukan kerjasama antara kementerian.

Jomo menegaskan pentingnya tembok antara kementerian diruntuhkan, jika tidak, perubahan yang diharapkan tidak akan berlaku sekiranya pihak berkuasa meneruskan usaha dengan kaedah yang sama. – 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen