PENGERUSI Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Dr Zeti Akhtar Aziz menjelaskan bahawa ketua pegawai eksekutif baharu dana tersebut Jalil Rasheed dilantik melalui prosedur yang betul yang juga dimaklumkan kepada perdana menteri.
Zeti menafikan pelantikan itu diputuskan sepenuhnya oleh beliau.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan tidak mengetahui tentang pelantikan Jalil dan tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.
“Itu tidak betul. PNB mengamalkan proses tadbir urus yang sangat ketat dan mantap.
“Kami mempunyai jawatankuasa pencalonan dan imbuhan lembaga di mana ia kali pertama membincangkannya dan kemudiannya diusulkan kepada lembaga, dan seterusnya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera, yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Galeri Pameran Merdeka 118 hari ini.
Zeti berkata Dr Mahathir pada dasarnya mengetahui tentang pelantikan itu “tetapi mungkin beliau tidak tahu bila pengumuman akan dibuat dan oleh itu beliau tidak mahu menyatakannya terlebih dahulu.”
Beliau berkata faktor lain yang mungkin menyumbang kepada situasi itu adalah proses kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
PNB adalah sebuah institusi kewangan yang dikawal selia dan pelantikan pegawai kanan memerlukan kelulusan SC.
“Adalah sangat penting untuk tidak membuat sebarang pengumuman terlebih dahulu sebelum semua proses kelulusan ini, barangkali itulah sebabnya mengapa beliau tidak mahu menyatakan apa-apa pada peringkat itu,” katanya.
PNB pada 28 Ogos mengumumkan Jalil sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif baharunya berkuat kuasa 1 Oktober menggantikan penyandang ketika ini Abdul Rahman Ahmad. – Bernama, 24 September, 2019.
Komen