PERBICARAAN kes 1MDB melibatkan Najib Razak masuk hari ke-12 hari ini dengan saksi pendakwaan kesembilan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Terengganu Investment Authority (TIA) Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan.
Semalam, Shahrol memberi keterangan yang Low Taek Jho mempunyai akses terus kepada Najib dan diketahui pernah menghubungi bekas perdana menteri semasa mesyuarat lembaga TIA untuk mendapatkan pandangannya.
Saksi itu juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas perdana menteri itu memberi Low, yang dikenali sebagai Jho Low, mandat untuk melaksanakan rancangan terhadap TIA, yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Bhd.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.
Shahrol berkata TIA memilih Ambank Islamic pada April 2009 untuk mengumpulkan RM5 bilion menerusi ‘Nota Jangka Sederhana Islam’, yang merupakan jaminan kerajaan.
Ia bertujuan membiayai usaha sama dengan dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi Mubadala untuk melabur dalam projek hotel mewah di Pulau Bidong, Terengganu.
Shahrol dilantik sebagai CEO TIA pada 23 Mac 2009. Syarikat itu dinamakan semula kepada 1MDB pada 31 Julai 2009, kira-kira empat bulan selepas Najib menjadi perdana menteri.
Najib berdepan 20 tahun penjara jika didapati bersalah. Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Gopal Sri Ram, bekas ketua hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pendakwaan sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mempengerusikan perbicaraan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.18pm: Shahrol masih memberi keterangan.
Shahrol: Najib adalah pembuat keputusan utama. Beliau mempunyai kuasa menentukan setiap keputusan.
Beliau berkuasa melantik lembaga dan penasihat.
Saya juga akan mendapatkan nasihat Jho Low jika ada perkara mendesak. Beliau adalah penasihat tidak rasmi bagi TIA dan 1MDB.
Najib juga berkuasa memecat CEO, CFO dan CIO mengikut Artikel 117 M&A.
Prosiding hari ini ditangguhkan dan bersambung pada jam 9 pagi esok.
4.17pm: Shahrol menceritakan tentang pengalamannya sebagai CEO 1MDB dari 2009 hingga 2013.
Sahrol: Jho Low sering beritahu saya setiap tindakan mendapat restu Najib kerana beliau diberi mandat di bawah Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) untuk kami jalankan tugas kami.
Tugas kami seperti yang diberi oleh Low adalah “gerak kerja berlapis” (work in silo) dan kami hanya di bahagian pelaksana.
Sebarang arahan atau tindakan dari Jho Low dibuat atas perjanjian dengan Najib. Semua nota maklumat (talking points) atau pelan tindakan (action plan) selari dengan kehendak Najib.
Saya yakin Low yang mengarahkan Najib menguruskan 1MDB kerana setiap kali saya semak tentang arahan Jho Low dengan Najib, beliau sahkan.
Sri Ram: Kamu katakan di sini bahawa apabila kamu semak dengan tertuduh, beliau selalu sahkan arahan Jho Low?
Shahrol: Ya
Sri Ram: Berapa kali kamu semak dengan tertuduh?
Shahrol: Banyak kali pada 2009 dan selepas itu. Sebab pada 2009 saya masih baru dan tidak pasti dengan proses kerja, saya tak mahu buat silap.
Lama-kelamaan, semakin berkurang. Kurang arahan, contohnya, apabila kami mahu mendapatkan loji janakuasa pada 2012, saya tak bertanya pada Najib sama ada kami patut buat begitu.
3.07pm: Shahrol ditanya mengenai pembelian murabahah antara TIA dan AmInvestment Bank pada 26 Mei 2009.
Beliau mengatakan tidak diberitahu siapa yang membeli bon itu dengan diskaun.
Sri Ram: Adakah anda menemui siapa pembeli kemudiannya?
Shahrol: Ya. Semasa penyiasatan pada 2018, polis menunjukkan saya urus niaga wang bon tersebut. Dua entiti yang membeli dengan diskaun. Satu di Singapura dan satu di Hong Kong.
Saya tidak dapat ingat nama mereka. Mereka menjual semula bon pada nilai muka semula kepada entiti di Malaysia.
Sri Ram: Adakah polis memberitahu anda yang dua entiti ini?
Shahrol: Polis memberitahu saya dua entiti itu adalah Low.
2.50pm: Mahkamah bersidang semula.
Shahrol membaca kenyataan kesaksiannya.
12.50pm: Mahkamah berhenti rehat.
12.48pm: Shahrol berkata Low mendepositkan RM70,000 ke dalam akaunnya untuk TIA bagi menaikkan modal saham.
Beliau berkata wang itu kemudiannya dibayar balik oleh TIA dan memberitahu Low, “Saya sudah dapat wang anda semua”, yang dijawab Low, “nanti, nanti”.
Shahrol berkata beliau kemudian menggunakan wang itu untuk menaja anak-anak yatim menonton Muzikal Upin dan Ipin di Istana Budaya.
12.41pm: Sri Ram: Kenapa surat jaminan kerajaan disediakan oleh firma swasta?
Shahrol: Ia lebih cepat.
Sri Ram: Bolehkah anda menerangkan kadar kecepatan bekerja di TIA pada masa itu?
Shahrol: Kadar kecepatan berhubung hal penting sangat mendesak dan kami perlu membuktikan sesuatu kepada pihak yang kami boleh dipercayai untuk melaksanakannya.

12.36pm: Sri Ram bertanya saksi mengenai surat yang ditandatanganinya.
Saksi kemudian membaca kenyataannya.
11.55am: Sri Ram berhujah bahawa tindakan saksi berhubung arahan Low dan kelakuan serta perasaan tertuduh pada masa itu adalah relevan.
Beliau menamatkan penghujahan.
11.34am: Gopal Sri Ram mewakili pihak pendakwaan meneruskan sesi.
Beliau berkata perbualan Low dengan saksi adalah penting untuk menunjukkan sama ada beliau memperdayakan tertuduh sebagaimana dakwaan pasukan pembelaan.
“Dalam konteks apa yang dikatakan Low kepada saksi adalah penting. Apa yang dikatakan Low mempengaruhi bagaimana saksi bertindak. Bagaimana saksi ini bertindak dan berinteraksi dengan tertuduh dan bagaimana tertuduh berinteraksi dengan Low dan saksi itu penting.”
11.04am: Mahkamah berhenti sebentar.
11.03am: Shafee merujuk kepada keterangan saksi Amhari sebelumnya mengenai Low sebagai pakar manipulasi.
Shafee: Beliau (Low) masih boleh memanipulasi ... saksi ini dan keadaan sebenar di TIA dan 1MDB. Mengapa kita perlu mengambil apa yang dikatakan oleh saksi bahawa apa yang dikatakan oleh Low sebagai benar?
Peguam menamatkan hujahnya.
10.38am: Shafee berkata Shahrol memetik kata-kata Low untuk “menyelamatkan dirinya” sedangkan Low tiada untuk disoal balas berhubung kenyataan saksi.
“Low tiada di sini… beliau tiada untuk membuktikannya.
10.08am: Shafee memetik duluan undang-undang untuk menyokong hujahnya.
10.03am: Peguambela Shafee berhujah bahawa beberapa kenyataan kesaksian Shahrol mengenai Low adalah khabar angin dan tidak dapat disahkan. Beliau mengatakan kenyataan ini tidak boleh diterima sebagai bukti.
10.01am: Mahkamah bersidang.– 24 September, 2019.
Komen