Jerebu berterusan kerana dasar lapuk Asean


Ragananthini Vethasalam

Dasar tidak campur tangan dalam kalangan negara anggota Asean menghalang penyelesaian isu rentas sempadan termasuk jerebu akibat pembakaran hutan, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2019.

SUDAH tiba masanya negara-negara ahli Asean menyemak semula dasar tidak campur tangan yang sudah lapuk kerana ia menghalang penyelesaian isu rentas sempadan termasuk jerebu akibat pembakaran hutan, kata pakar.

Dasar yang dikuatkuasakan pada Deklarasi Bangkok 1967 membenarkan 10 negara serantau bekerjasama dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama dan kestabilan rantau tanpa campur tangan asing dalam urusan dalaman negara anggota.

Akibatnya, Malaysia tidak dapat mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabkan jerebu rentas sempadan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Indonesia kerana jerebu berpunca dari negara itu.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph yang juga pengerusi Asean People’s Forum pada 2015 berkata dasar tidak campur tangan ini regresif bagi kerjasama serantau kerana ia menjadi “kuasa veto” yang menggagalkan usaha membuat keputusan baharu.

“Anda hanya perlukan 10 anggota untuk kata ‘tidak’ dan ia berhenti. Mana-mana negara anggota yang tidak mahu menerima komen atau pendirian kritikal dari Asean akan membangkitkan perkara ini.

“Bahkan Malaysia sendiri meminta negara anggota lain tidak mencampuri urusan dalaman apabila dikritik,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Menurut Joseph, kegagalan Asean untuk maju ke depan dalam krisis Rohingya dan isu jerebu yang berterusan adalah contoh jelas akibat dasar lapuk rantau ini dalam membuat keputusan.

Sudah tiba masanya Asean bangkit dan berterus-terang jika mahu serius mengenai rantau ini.

“Sudah tentu mengelak untuk mengambil hati jiran bermakna mencari sesuatu yang diterima umum atau ada masanya bermakna langsung tiada tindakan,” katanya.

Bagi peguam hak asasi manusia terkemuka dan wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Eric Paulsen pula, kritikan terhadap prinsip dasar tidak campur tangan dalam Asean adalah patut.

Katanya, dasar tidak campur tangan melambatkan tindakan terhadap isu yang memerlukan keputusan atau campur tangan segera. – 24 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen