PENDUDUK luar bandar akan menghadapi kesukaran apabila Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk menghentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di semua Jabatan Pendaftaran Negeri, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.
Beliau menggesa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memberi pertimbangan khas kepada bayi yang dilahirkan di kawasan luar bandar kerana ibu bapa tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi mendaftarkan kelahiran anak di bandar.
“Saya memohon supaya kementerian memberi pertimbangan khas kepada kes-kes sah dan bukan mengadakan polisi menyeluruh yang mungkin tidak relevan di kawasan tertentu.
“Ada banyak kes pendaftaran lewat kelahiran (yang mempunyai) alasan yang kukuh, terutamanya mereka yang tinggal jauh di pedalaman dan kawasan luar bandar yang menyukarkan mereka ke bandar besar.
“Dalam banyak kes, penduduk luar bandar tidak mampu ke bandar terdekat untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka yang lahir di kawasan pedalaman, kerana ia mungkin menelan belanja ratusan ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yii berkata demikian bagi mengulas pengumuman Muhyiddin semalam untuk menghentikan pendaftaran lewat kelahiran di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di setiap negeri dengan serta-merta sebagai salah satu usaha untuk membanteras sindiket penjualan sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) kepada warga China.
Pada 19 Ogos lalu, 20 individu berumur antara 32 dan 70 tahun termasuk penolong pengarah JPN ditahan dalam satu operasi khas kerana terlibat sebagai ejen, orang tengah, penaja dan pemegang sijil kelahiran palsu, MyKad dan pasport.
Siasatan mendedahkan ejen sindiket akan mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM600,000 kepada warga asing.
Kesemua suspek ditahan reman 28 hari dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menurut Yii, penduduk di kawasan pedalaman Sarawak terpaksa mengambil masa sehingga 15 jam untuk ke pejabat JPN terdekat.
Bagi masyarakat Orang Asal, Yii berkata ramai antara mereka tidak tahu undang-undang mewajibkan kelahiran anak perlu didaftarkan. Ini kerana mereka mengamalkan hukum adat bagi perkahwinan dan kelahiran anak, jelasnya. – 23 September, 2019.
Komen