LANGSUNG: Jho Low 'sangat rapat' dengan Najib, sudah biasa dengan orang sekitar bekas PM, kata saksi


Bede Hong Alfian Z.M. Tahir

Amhari Efendi Nazaruddin akan menjelaskan keterangan saksi mengenai peranan Najib Razak dalam skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2019.

PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib Razak masuk hari ke-11 hari ini dengan saksi pendakwaan kelapan, bekas pegawai khas Amhari Efendi Nazaruddin, kembali ke memberi kesaksian untuk kali terakhir.

Amhari akan disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram, yang dijangka menjelaskan keterangan saksi mengenai peranan Najib dalam skandal 1MDB.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga hari ini akan memanggil saksi pendakwaan seterusnya, bekas ketua pegawai eksekutif Terengganu Investment Authority, Shahrul Ibrahim Halm yang akan membacakan kenyataan saksinya.

Pada Khamis, Amhari memberitahu mahkamah ketua kakitangan Najib, Abdul Aziz Kassim memerintahkan supaya dokumen, termasuk yang berkaitan dengan 1MDB, dimusnahkan sebelum pilihan raya umum tahun lepas.

Saksi berkata arahan itu diberikan kepada pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum pilihan raya 9 Mei. Amhari berkata beliau lupa memusnahkan dokumen itu kerana sibuk dengan kempen pilihan raya.

Kesemua dokumen itu kemudiannya disita oleh pihak berkuasa penguatkuasaan dan dijadikan sebagai bukti dalam perbicaraan 1MDB.

Saksi memberi keterangan Najib berpihak kepada Low, yang dikenali sebagai Jho Low, walaupun bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy membangkitkan kebimbangan mengenai kredibiliti ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang.

Najib menghadapi 20 tahun penjara jika didapati bersalah. Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam diketuai oleh Shafee Abdullah.

Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pendakwaan dan diketuai hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.40pm: Shahrol berkata mesyuarat pertama TIA diadakan pada 23 Mac, 2009, dan mesyuarat kedua diadakan hari berikutnya. Beliau berkata Low hadir bersama pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF), Wan Abdul Aziz.

Shahrol: Low mahu MoF percepatkan proses pengeluaran bon agar perjanjian dengan Mubadalah boleh dilakukan. MoF diberikan tempoh seblan untuk keluarkan bon dan Kementerian tidak selesa dengannya.

Sri Ram: Apa alasan untuk percepatkannya?

Shahrol: Jelas sekali ia adalah pelaburan dengan Mubadalah di Pulau Bidong. Saya ditunjukkan pelan pembangunan pulau itu oleh Nik Faisal dan Low.

Mahkamah ditangguhkan dan bersambung esok.

3.55pm: Sri Ram: Bila kamu jumpa tertuduh, bagaimana dengan perbualan itu berlangsung?

Shahrol: Ia adalah perkenalan dengan CEO syarikat minyak dan gas Mubadalah, Maurizio la Noce. Terdapat perbincangan antara CEO Mubadalah dan Najib.

Mahkamah berehat.

3.45pm: Sri Ram tanya Shahrol apa yang membuatkan beliau fikir Low ada hubungan rapat dengan tertuduh.

Sri Ram: Mengapa kamu berpandangan demikian?

Shahrol: Selepas Najib dilantik sebagai perdana menteri, banyak khabar angin yang diberitahu kepada saya oleh Low pada hujung minggu itu. Rosmah bimbang…

Shafee membantah sebelum Shahrol menghabiskan kata-katanya.

Shafee: Ini bukan kedai kopi. Ini sudah makin mengarut. Khabar angin adalah kenyataan yang dibuat oleh seseorang tanpa berikan bukti. Low tidak berikan bukti.

Sri Ram kemudian meminya Shahrol menyatakan daripada pemerhatiannya sejauh mana Low rapat dengan Najib.

Shahrol: Mereka sangat rapat. Salah satu pemerhatian saya adalah apabila Low menjemput saya ke kediaman tertuduh di Putrajaya. Beliau sudah menjadi perdana menteri ketika itu namun masih tinggal di kediaman timbalan perdana menteri.

Low terus bawa saya masuk, melambai tangan kepada pengawal. Beliau sudah biasa dengan susun atur premis itu dan tempat menunggu. Kakitangan pun mengenalinya. Beliau meminta milo ais daripada mereka, dan kemudian berjumpa Najib.

3.30pm: Sri Ram: Adakah akaun TIA pernah diaudit?

Shahrol: Tidak.

2.45pm: Shahrol: TIA hanyalah syarikat dua dolar. Tiada dana (di dalamnya). Syarikat baru itu tidak memperoleh kredit. Kami memerlukan tempat untuk bekerja dan Low menawarkan bilik mesyuaratnya di Utama Banking Group (UBG) KLCC untuk digunakan. Ia adalah untuk mengumpul dana dan operasi TIA dan mengambil kakitangan.

2.35pm: Shahrol berkata beliau tidak terlibat secara langsung dengan TIA ketika ia mula ditubuhkan pada Februari 2009 tetapi menyertainya pada Mac. Katanya, idea penubuhan TIA itu datang daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Low selepas mengadakan lawatan ke Abu Dhabi.

Shahrol berkata idea untuk menubuhkan TIA dijelaskan kepadanya oleh Low sendiri.

Shahrol berkata Low mempunyai akses terus kepada Najib, dan beliau boleh menghubungi Najib ketika sedang bermesyuarat untuk meminta pandangan. Katanya, Low merujuk bekas perdana menteri sebagai “bos” dalam banyak perkara dan ahli perniagaan terbabit merupakan orang penting kepada Najib. Shahrol berkata Low bertindak sebagai fasilitator antara Sultan Mizan dan Najib.

2.25pm: Shahrol berkata beliau ditawarkan untuk menyertai TIA oleh Low. Menurutnya, tawaran itu dibuat menerusi panggilan telefon pada Mac, 2009, yang mana Low meminta Sharol bertemu dengannya di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Pada 23 Mac, 2009, Shahrol secara rasminya dilantik sebagai CEO TIA. Beliau melaporkan terus kepada lembaga pengarah TIA.

Shahrol: Skop tugas saya adalah untuk menyediakan laporan dan mempromosikan TIA, atau membuat pembentangan jika diminta oleh lembaga pengarah.

2.15pm: Perbicaraan bersambung. Saksi pendakwaan ke-9 iaitu bekas CEO Terengganu Investment Authority Shahrol Ibrahim Halmi mengambil tempat.

12.24pm: Mahkamah berhenti rehat dan akan disambung semula pada jam 2 petang.

11.37am: Sri Ram bertanya Amhari mengenai kenyataan bekas bosnya “Duit 1MDB-lah, bro” yang diterangkan dalam kenyataan saksi.

Sri Ram: SR: Apa maksud anda dengan “Duit 1MDB-lah, bro” berhubung dengan tertuduh dan 1MDB?

Amhari: Saya katakan ini kerana pada 2015 dan akhir 2014 merupakan tahun sukar bagi PMO dan Najib; kerana banyak laporan dan bukti penipuan dalam 1MDB muncul pada masa itu. Boleh dikatakan PMO dikepung 1MDB pada 2015.

Kami di pejabat memutuskan untuk mengambil pendirian untuk membela kerana percaya ia adalah konspirasi terhadap PM.

Sri Ram: Apabila anda berkata kami, siapa yang dimaksudkan itu?

Amhari: Datuk Azlin dan saya serta pegawai kanan yang lain. Isu penyelewengan dana, perjanjian PetroSaudi, gaya hidup mewah Jho Low dan The Wolf of Wall Street, semuanya daripada 1MDB. Ini semua berlaku pada awal 2015. Saya percaya pada Januari atau Februari, kerana Azlin meninggal dunia pada April 2015.

Pada masa itu, isu panas dan ia mendapat publisiti secara meluas.

Sri Ram: Apabila anda merujuk kepada The Wolf of Wall Street, apa yang anda maksudkan?

Amhari: Filem yang dihasilkan oleh anak tiri Najib, Riza Aziz.

Sri Ram: Pada bila-bila masa antara 2015 hingga 2018, adakah terdapat arahan daripada pihak yang bertanggungjawab untuk membuat laporan polis mengenai 1MDB?

Amhari: Tidak.

Sri Rama: Laporan SPRM?

Amhari: Tidak

11.25am: Mahkamah bersidang.

Amhari mengambil tempat dikandang saksi. – 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen