Derma orang ramai benihkan awan tangani jerebu


Diyana Ibrahim

Operasi pembenihan awan yang dibuat sebagai tanggungjawab sosial korporat AFJets itu dibantu hasil sumbangan beberapa alumni dan pendukung syarikat. – Gambar AFJets, 23 September, 2019.

SEBUAH syarikat penerbangan persendirian minggu lalu menjalankan pembenihan awan yang ditaja hasil sumbangan derma awam, dipercayai yang pertama seumpamanya untuk mengurangkan kesan jerebu yang berlarutan sejak awal Ogos lalu,

Ketua Pegawai Eksekutif AFJets, Amrul Nizar Anuar berkata tabung kutipan dilancarkan dalam kalangan kawan-kawan sekolahnya selepas kesihatan dirinya sendiri terjejas akibat jerebu, kesan daripada pembakaran hutan di Indonesia.

Amrul juga mencari jalan itu sebagai keprihatinan bersama untuk membantu mengurangkan kesan jerebu.

“Kita sentiasa mengharapkan negara (kerajaan) membantu kita tapi apakah sumbangan kita kepada negara?

“Kami menawarkan bantuan memandangkan kami ada kepakaran itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Amrul, beliau kemudian berkongsi ideanya dengan kawan-kawan alumni sekolah di WhatsApp dan tidak menyangka ia mendapat sambutan.

“Kita mula tubuhkan tabung kutipan pada Rabu lepas dan tempoh masa (kutipan) kita hadkan sehari saja,” katanya.

Operasi pembenihan awan yang dibuat sebagai tanggungjawab sosial korporat AFJets itu dibantu hasil sumbangan Alumni Sekolah Alam Shah (Asas), Alumni Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) dan pendukung syarikat. Ia dijalankan Rabu lalu di sekitar Klang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Amrul enggan mendedahkan jumlah kutipan kerana tidak mahu ia disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menghentam kerajaan.

Beliau menjelaskan usaha gotong royong ini bukan bertujuan memperlekehkan kerajaan sebaliknya semata-mata hanya mahu membantu

“Kita tak menghentam kerajaan cuma menawarkan bantuan memandangkan kami ada kepakaran itu,” katanya.

Jelas Amrul, kos sebenar operasi pembenihan awan yang dilakukan AFJets jauh lebih rendah daripada kos pembenihan awan yang dilakukan kerajaan.

“Kerana kita ada kaedah dan teknologi sendiri, kita gunakan pyrotechnic (teknik api) dan kita juga guna teknologi dari Jabatan Metrologi.

“Pesawat yang kita gunakan adalah pesawat ringan Cessna,” katanya.

Katanya, teknologi tersebut membolehkan mereka melakukan operasi pembenihan awan hanya dalam tempoh 1 jam 15 minit.

Timbalan CEO AFJets, Faidzal Ghazali berkata operasi pembenihan awan tidak memerlukan pesawat besar.

“Kenapa tidak kita mulakan dengan jiwa yang ehsan? Pesawat besar tapi jiwa yang kecil, tidak akan membawa makna apa-apa, tapi pesawat kecil dengan jiwa yang ehsan, sama-sama kita boleh melakukan keajaiban,” katanya.

Operasi pembenihan awan minggu lalu dibuat ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara sudah lebih seminggu mencecah paras tidak sihat di banyak tempat di Semenanjung Malaysia, malah berbahaya di beberapa bahagian di Sarawak.

Operasi pembenihan awan minggu dilakukan AFJets dibuat ketika bacaan IPU sudah lebih seminggu mencecah paras tidak sihat di banyak tempat di Semenanjung Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2019.

Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah mereka yang mendapatkan rawatan sakit mata dan lelah juga bertambah di klinik dan hospital kerajaan, sementara ribuan sekolah ditutup di beberapa negeri.

Menurut Faidzal, biarpun AFJets sebuah syarikat swasta namun misi mereka minggu lalu adalah usaha sukarela yang juga merupakan program CSR.

“Misi kami untuk membantu dan berkhidmat kepada negara, dan sebagai pelengkap tugas yang dilaksanakan agensi kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Amrul, ini bukan pertama kali AFJets, yang berpengalaman 13 tahun, menawarkan khidmat untuk menurunkan hujan secara percuma.

“Kami pernah secara sukarela membantu turunkan hujan di Kelantan semasa musim kemarau 2016.

“Alhamdullilah, AFJets berjaya,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya akan melakukan operasi pembenihan awan di Melaka pada minggu ini bagi membantu masalah kekurangan air.

Amrul berkata dengan kepakaran dan teknik yang sekarang ada pada AFJets, kebarangkalian syarikat itu untuk berjaya menghasilkan hujan adalah sebanyak 90%.

“Bagi saya tidak timbul soal tidak boleh lakukan (pembenihan awan) sebab awan atau cuaca tidak sesuai. Ada yang kata sekarang ini kita tak dapat nak menjangkakan perubahan cuaca.

“Kalau nak tunggu cuaca sesuai memang sampai bila tak boleh, sebab itu saya lebih senang gelarkan Operasi Pengubahsuaian Cuaca,” katanya. – 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen