Kemboja kini jadi pasaran tumpuan perniagaan Malaysia


Khoo Gek San

Pasar Phnom Penh, Kemboja, yang sering menjadi tumpuan pelancong dan peniaga dari luar negara. – Gambar EPA, 23 September, 2019.

KEMELESETAN ekonomi tempatan, perubahan dasar kerajaan berhubung buruh asing dan kekurangan tenaga kerja menyebabkan ahli perniagaan tempatan mencari tempat lain untuk menjalankan perniagaan mereka.

Satu negara Asean yang menjadi tarikan utama beberapa tahun kebelakangan ini adalah Kemboja.

Selama bertahun-tahun, Kemboja dilihat sebagai pasaran tertutup dan negara berekonomi mundur di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, negara ini sedang memperlaju langkah untuk mengejar rakan serantaunya yang lain dan dalam beberapa perkara berjaya melangkaui mereka.

Sebagai salah satu negara paling mundur di rantau ini, Kemboja menjadi pilihan 28 negara maju di dunia dan Kesatuan Eropah.

Dengan menawarkan tarif sifar yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa syarat lain yang menguntungkan, negara itu terbukti menjadi pasaran yang menarik bagi perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.

Presiden Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Kang Hua Keong berkata sejak dua tahun lalu, perniagaan kecil dan sederhana tempatan telah mula menjalankan pengeluaran produk di Kemboja dan negara Asia Tenggara yang lain.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan Malaysia berkembang ke Kemboja, terutamanya dalam industri makanan dan minuman, diikuti beberapa pengeluar perabot.

“Industri pembuatan perlu berada dalam pasaran buruh intensif, terutamanya jika ia murah, dan kami menyedari bahawa pelabur Malaysia juga banyak melabur di pasaran hartanah di Kemboja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kang berkata perusahaan kecil dan sederhana sebelum ini lebih banyak melabur di Vietnam tetapi menarik balik pelaburan mereka kerana peningkatan kos buruh di sana.

“Bermula tahun ini, beberapa perniagaan sedang beralih ke Kemboja, Myanmar dan Laos.

“Banyak perniagaan kecil dan sederhana tempatan sangat bergantung kepada tenaga kerja, tetapi mereka tidak dapat mencari tenaga kerja di sini, ditambah dengan keadaan politik yang tidak stabil, jadi mereka melabur di luar negara.

“Kebanyakan perniagaan yang masih wujud di Malaysia adalah perniagaan berteknologi tinggi yang tidak bergantung kepada buruh,” katanya.

Kang menambah bahawa Kemboja, bersama-sama Myanmar, menawarkan dasar keutamaan bagi pelabur asing, terutama bagi mereka yang ingin membuka kilang di negara tersebut.

“Mereka boleh mendapat sewa 30 hingga 50 tahun.”

Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-China, Siah Teong Chein, yang melabur di Kemboja sejak 15 tahun lepas berkata harga tanah dan hartanah di Kemboja masih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain.

Siah berkata pembangunan ekonomi Kemboja kini berada pada peringkat setanding tahun 1980-an di Malaysia, tetapi banyak perniagaan yang memasuki pasaran awal menerima respon yang baik.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Eldeen Hussaini Mohd Hashim dilaporkan mengatakan bahawa perdagangan Malaysia di Kemboja meningkat sebanyak 45% pada separuh pertama 2018, atau sebanyak AS$336 juta.

Sebanyak 59 syarikat berdaftar dengan Majlis Perniagaan Malaysia-Kemboja, termasuk Maybank, KFC, Public Bank, CIMB Bank, Hong Leong Bank dan lain-lain.

Sebab utama perniagaan Malaysia beralih dari Vietnam ke Kemboja adalah disebabkan ketepuan pelaburan asing di Vietnam. Sebaliknya, ekonomi Kemboja baharu sahaja mula berkembang.

Faktor lain ialah dasar pro-perniagaan yang diterima pakai oleh kerajaan Kemboja, termasuk keterbukaan kepada pelaburan asing, insentif pelaburan, perlindungan pelaburan yang mencukupi dan membolehkan penggunaan paten EU.

Siah juga berkata populasi padat di Kemboja juga turut  memacu pertumbuhan sektor hartanah.

Daripada jumlah penduduk Kemboja yang melebihi 16 juta, kira-kira dua juta tinggal di Phnom Penh.

Phnom Penh juga merupakan bandar tersibuk negara itu dari segi perdagangan, hal demikian telah menarik pelabur kerana permintaan hartanah yang tinggi di sana.

Siah juga berkata satu lagi kelebihan melabur di Kemboja ialah penggunaan dolar AS dalam perdagangan, menjadikannya lebih mudah bagi syarikat asing menjalankan perniagaan. – 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen