Umno Tanjung Piai mahu tanding pilihan raya kecil


SM Amin

Menurut Jefridin, kerusi tersebut wajar diserahkan kepada Umno kerana peratusan pengundi Melayu sudah bertambah kepada 57% berbanding 51% pada tahun 2004. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

UMNO mahu diberi peluang bertanding kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan.

Kerusi itu secara rasmi akan diumumkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik, semalam.

Jefridin berkata, Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai sudah lama menuntut kerusi tersebut namun kepimpinan tertinggi parti mempunyai perkiraan sendiri di peringkat nasional.

Jelasnya, walaupun akur dengan keputusan itu, orang Melayu merasakan suara mereka tidak didengar dan akhirnya tidak memberi undi kepada calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Oleh kerana kita ini bermuafakat dan ada perkiraan-perkiraan di peringkat nasional, kita akur tetapi akhirnya kemahuan ini tidak boleh dibendung lagi apabila ramai orang Umno tidak memilih calon BN,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Pada PRU14 lalu, PH menang tipis kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan kelebihan 524 undi.

Md Farid yang mendapat 21,555 undi mengatasi calon BN Wee Jeck Seng dari MCA yang mendapat 20,731 undi serta calon PAS Nordin Othman yang meraih 2,962 undi.

“Itu yang menyebabkan Wee kalah sebelum ini. Mereka (Umno Tanjung Piai) sudah tuntut tetapi pimpinan kerajaan ketika itu tidak mahu dengar, jadi mereka memilih parti lawan.

“Jadi kita memang tidak boleh bertangguh lagi kerana realitinya kita nampak bahawa majoriti masyarakat Melayu di Tanjung Piai hendakkan kerusi mereka,” tambah Jefridin.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh BN melalui MCA sejak kawasan pilihan raya itu dibentuk melalui persempadanan semula pada 2003. Kerusi itu adalah pecahan daripada kawasan Parlimen Pontian, yang ditandingi wakil MCA untuk BN sejak pilihan raya 1986.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, ia dimenangi presiden MCA pada ketika itu, Ong Ka Ting, yang sebelum itu mewakili Pontian. 

Wee pula bertanding dan menang di Tanjung Piai untuk dua penggal dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Menurut Jefridin, kerusi tersebut wajar diserahkan kepada Umno kerana peratusan pengundi Melayu sudah bertambah kepada 57% berbanding 51% pada tahun 2004.

“Pihak atasan yang akan menentukan tetapi kita perlu nyatakan bahawa majoriti kaum di Tanjung Piai ini adalah Melayu.

“MCA sudah menduduki kerusi itu sudah agak lama sejak Ong Ka Ting dahulu… sudah 15  tahun.

“Kita melihat apabila terdapat peningkatan dalam peratusan mengundi Melayu, orang Melayu hendak kerusi itu balik,” katanya.

Tambah Jefridin, menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai untuk Umno tandingi tidak bermakna Umno meminggirkan MCA, selepas ia menandatangani Piagam Muafakat Nasional dengan PAS minggu lalu.

“Ini hanya pilihan raya kecil. Untuk bercerita tentang muafakat nasional, kita kena lihat pada pilihan raya umum kerana lebih jelas pembahagian kerusinya.

“Dalam PRK kita tidak boleh menilainya sebagai satu keputusan yang menyeluruh berbanding ketika PRU, ketika semua parti akan mendapat tempat dan bilangan kerusi yang sesuai dengan keperluan masing-masing,” ujarnya.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan berbincang dengan parti komponennya untuk menentukan bakal calon dalam pilihan raya kecil itu, ketika ada spekulasi Umno mungkin mahu meletakkan calonnya.

Spekulasi timbul kerana di atas kertas, berdasarkan keputusan PRU14, PH boleh kalah sekiranya undi calon BN dan PAS disatukan. Umno dan PAS pula dilihat berpotensi menjadikan pilihan raya kecil itu nanti sebagai ujian kerjasama politik mereka, dalam konteks nasional yang lebih luas.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands awal tahun ini, MIC membuka jalan kepada BN untuk meletakkan calon langsung daripada masyarakat Orang Asli sebagai strategi kemenangan yang kemudiannya terbukti berjaya.

Umno dan PAS sebelum ini bekerjasama secara tidak rasmi dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sejak PRU14. – 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen