DALAM keterangan saksi dengan peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah minggu lalu, bekas pembantu perdana menteri Amhari Efendi Nazaruddin mendedahkan lebih banyak perkara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau memberi keterangan bahawa Najib sentiasa menyokong Low Taek Jho apabila kredibiliti ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang tu dipersoal oleh CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
“Terdapat banyak peluang sepanjang masa saya bekerja dengan Datuk Seri Najib untuk menegaskan bahawa selepas setiap kali saya menyemak arahan dari Jho Low dengan Datuk Seri Najib, Jho Low mempunyai sokongan perdana menteri,” Amhari memberitahu mahkamah.
Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, turut mendapat kepercayaan isteri Najib, Rosmah Mansor dan diketahui pernah melakukan perjalanan dengan keluarga bekas perdana menteri itu ke New York dan London, katanya.
Berhubung bagaimana beliau menyedari Rosmah suka kepada Low, Amhari pada pemeriksaan balas berkata: “Saya ada peluang untuk bercakap dengan Datin Seri dan entah bagaimana beliau sebut namanya dan saya kata, Ya, saya sudah jumpanya, dan Datin Seri kata, “Ya dia sangat membantu, kan? Dan saya jawab, Ya.”
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Saksi jumpa pegawai bank BSI di Singapura
Saksi berkata, beliau mengikut setiausaha sulit Najib, Azlin Alias dan Low untuk bertemu dengan pegawai bank Singapura yang kemudiannnya menjadi antara yang pertama disabitkan atas kesalahan berkaitan 1MDB.
Mereka bertemu pegawai bank BSI, Yvonne Seah di hotel Le Méridien di Singapura. Amhari berkata beliau dibawa berjumpa untuk menandatangani dokumen berkaitan Aerospace Ltd, sebuah syarikat yang dimilikinya. Saksi berkata, beliau tidak ingat dokumen apa yang ditandatanganinya.
Seah dijatuhi hukuman pejara dua minggu pada 16 Disember, 2016 kerana gagal melaporkan transaksi meragukan melibatkan akaun yang dikaitkan dengan Low.
Saksi turut mengesahkan bahawa beliau menerima AS$200,000 lagi daripada Low, yang katanya adalah pinjaman untuk pembelian rumah di Kota Damansara. – 22 September Ogos, 2019.
Komen