ARTIKEL ini ingin mendedahkan modus operandi jenayah terancang yang masih berleluasa hingga sekarang. Tapi, elok kita imbas senario aktiviti jenayah terancang sejak awal 80-an.
Menentang jenayah terancang pada awal dekad 80-an bererti mendedahkan diri pada tindak balas pembunuhan. Sekali pun anda hanya penyampai maklumat, silap atur tindakan dan ada kebocoran sumber, anda terdedah pada maut.
Apa lagi pada dekad itu, peluru hidup yang diseludup dari Thailand hanya berharga 60 sen sebutir.
Pada tahun 1982, Rahmad Ishak (meninggal pada 1998) aktif menjual kaset rakaman cetak rompak di sekitar Kedah. Premis tetapnya di depan bangunan Pekan Rabu hingga ke lokasi bergerak sekitar pasar Alor Setar. Dekad itu, kaset cetak rompak dijual secara berleluasa.
Rahmad terkenal sebagai keras hati, hebat bertumbuk dan bukan calang-calang anak muda. Dia ada nama besar dalam kalangan orang kencang di Kedah.
“Kalau ada orang datang kacau, pegawai mana sekali pun, suruh dia jumpa aku dulu dan jangan pandai-pandai nak saman atau nak angkut barang.”
Itu cara Rahmat. Pada era itu, cara cari makan dalam kehidupan ekonomi jalanan sangat sukar dan memenatkan. Ini menjadikan perniagaan jalanan hanya diusahakan orang yang berhati tegar.
Waktu itu, kaset cetak rompak Sudirman Arshad, Dhalan Zainudin, Syarifah Aini, Uji Rashid, Noor Kumalasari, Kembara, Alleycats, Black Dog Bone dan Carefree dijual secara terbuka.
Harga jualan sekitar RM2.50 ke RM3 mengikut permintaan. Ketika album baru dipasarkan dan permintaan tinggi terutama Sudirman atau Alleycats, harga boleh mencecah RM3.50.
Tahun 1985, saya merantau ke Kuala Lumpur. Sebagai anak jati Kedah dan budak Pekan Rabu, akses saya mudah untuk masuk ke Pasar Chow Kit.
Pada 1986, walaupun masih bekerja sebagai budak pasar Chow Kit, saya dipengaruhi filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani. Ini filem totok dan penuh emosi mengenai perjuangan menentang lanun cetak rompak.
Sekitar tahun yang sama ditubuhkan NGO Hapuskan Lanun Cetak Rompak (Halacero) bagi tujuan membasmi aktiviti lanun cetak rompak. Pejabatnya di Jalan Raja Laut.
Dari Kuala Lumpur, pada usia 19 tahun, saya menghubungi Rahmad di Kedah. Dia masih menjalankan perniagaan menjual kaset cetak rompak. Namun, dia mulai marah dan wujud rasa protes terhadap lanun. Namun, bukan kerana filem Nasir Jani.
“Lanun bagi modal pada banyak orang untuk buka tapak jual lagu cetak rompak. Lanun nak kuat keuntungan sebanyak mungkin kerana permintaan besar. Aku rugi teruk sebab di sana-sini bersepah penjual kaset,” marah Rahmad.
Kami berbual di telefon. Saya di pondok telefon Wisma Mun Loong, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Rahmad di Pejabat Koperasi Pekan Rabu.
Akhirnya, saya pujuk Rahmad datang ke Kuala Lumpur dan berunding dengan Halacero.
Rundingan yang gagal
“Kalau saya bantu tuan, maknanya saya letak nyawa pada gengster cetak rompak,” kata Rahmad.
“Tapi kami tak amalkan bayar pampasan pada informer,” kata pegawai Halacero.
Rahmad nampak bengang sekali.
“Tuan nak lawan perniagaan gengster yang meluas dari Kedah sampai Penang. Mereka ada puluhan tempat cetak lagu dan saya tahu tiap satu demi satu,” katanya.
“Ya… itu perjuangan kami,” jawab pegawai Halacero.
Rahmad naik angin: “Tuan nak lawan musuh yang rompak berjuta-juta ringgit duit artis dan syarikat rakaman, tetapi sesen pun tuan tak nak bayar kepada informer macam kami. Apa benda Halacero ni?”
Pegawai itu terdiam.
“Ini bisnes gengster. Kalau nama saya bocor, mayat saya tepi jalan saja esok hari,” jerit Rahmat.
Kemarahannya meluap-luap.
“Pelik perjuangan Halacero. Nak selamatkan industri berjuta ringgit. Tetapi sesen tak mau bayar informer. Saya dah bawa alamat satu demi satu tempat rakaman lanun dan nama-nama lanun, takkan semua ini kerja kebajikan?”
Pertemuan itu jadi tegang. Melihatkan muka Rahmad merah padam dan dia juga kepenatan memandu jauh dari Alor Setar ke Kuala Lumpur, saya minta tamatkan saja mesyuarat.
Saya risau, ada yang pecah muka ditumbuk Rahmad. Jadi, saya ajak dia keluar.
Mesyuarat pun gagal!
Lanun cetak rompak versi Dahlan Zainuddin
“Lanun dan penerbit album orang yang sama saja,” kata Dahlan Zainuddin.
“Masa dulu buat album penyanyi dibayar lump sum. Mana ada royalti album. Kita penyanyi 70-an tak peduli isu cetak rompak sebab kalau lagu meletup dan popular pun, kita cari makan di televisyen dan show,” katanya.
Itu cerita Dahlan pada 1994. Ketika itu, bintang Kisah Seorang Biduan ini sudah tidak merakamkan album. Dia bekerja sebagai pengurus perhubungan artis.
Pada era Dahlan, tiap jualan kaset 100% untung milik label penerbit. Artis tidak mendapat sesen pun royalti.
Era menentang lanun cetak rompak hanya membara pada pertengahan dekad 80-an. Itu antara aspirasi yang menyebabkan Nasir Jani menerbitkan filem Kembara Seniman Jalanan.
Antara tema utama filem itu ialah survival penyanyi kerana album cetak rompak menyebabkan jualan produk original terjejas teruk.
Lanun abad ke-21
Pada 2002, ketika menjadi penerbit Edisi Siasat ntv7, laporan mendedahkan aktiviti cetak rompak satu keutamaan. Bukan setakat muzik, ancaman lanun menjejaskan industri filem melalui edaran DVD.
Waktu itu, sekeping DVD filem yang masih ditayangkan di pawagam dijual pada harga RM20 sekeping. Harga akan menurun apabila filem sudah tidak lagi di pawagam.
Aduan pemain industri menyebabkan pihak berkuasa bertindak. Namun anehnya, premis DVD cetak rompak tetap meluas. Di Jalan Petaling deretan lanun meniaga secara terbuka.
Di Cheras, Puchung, Shah Alam, Gombak dan Bukir Bintang, DVD boleh dibeli di kaki lima.
“Teknologi salinan DVD tiruan sangat canggih. Sebuah mesin salinan yang dibawa masuk dari Taiwan boleh menghasilkan 200 DVD setiap 5 minit,” kata sumber polis.
Walaupun serbuan dilakukan di lokasi strategik tempat salinan DVD dibuat, terutama di kawasan perindustrian Sungai Buluh dan sekitar Puchong, lanun cetak rompak tidak terjejas.
Walaupun pihak berkuasa memusnahkan mesin perakam, esok datang mesin baru.
“Ini industri yang mengaut ratusan juta ringgit setahun. Lanun mendapat sokongan modal dan peralatan dari rangkaian kartel di Hong Kong,” kata sumber polis.
Industri muzik dan filem kehilangan keuntungan yang teruk. Hasil keuntungan lanun cetak rompak sukar dianggarkan. Tetapi ada sumber menyatakan filem hebat seperti Sembilu, boleh mencecah 500 ribu jualan DVD cetak rompak.
“Sekiranya purata jualan RM15, lanun mengutip RM7.5 juta per filem box office. Ini satu bisnes besar jenayah terancang,” kata sumber polis.
Akhirnya era DVD berlalu. Lanun kehilangan arah. Namun, pelaburan jenayah terancang berpindah arah. Lanun beralih ke pusat perjudian mesin kuda. Premis mesin judi tumbuh bagai cendawan. Ironinya, ada yang berdepan dengan Balai Polis.
Dekad pertama alaf 21 bermula sejarah memerangi jenayah terancang mesin kuda. Namun, ini dekad paling menguji. Fenomena antara kecekapan lanun dan penguat kuasa yang rasuah. Rasuah ialah kunci kejayaan jenayah terancang.
Ketika berada di pejabat dan telah menyiarkan promo aktiviti judi mesin kuda di Taman Tenaga, Cheras, seorang budak lelaki membuat panggilan telefon.
“Boleh kita jumpa,” katanya.
Sebagai penerbit Edisi Siasat, saya bersetuju.
“Pemilik kedai mesin kuda di Cheras minta saya datang. Kalau tuan gugurkan siaran mengenai premisnya, dia akan bayar RM60 ribu.”
Saya tersenyum. Begitulah dahsyatnya rasuah dalam jenayah terancang. Tidak ada ugutan jenayah. Semua penyelesaian hanyalah wang, wang dan wang.
Edisi Siasat tetap menyiarkan laporan itu dengan bukti rakaman visual kamera tersembunyi. Meletup juga rating dan respons. Premis itu ditutup seminggu. Tapi dibuka semula seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Begitulah hebatnya pengaruh wang, wang dan wang dalam modus operandi jenayah terancang.
Saya percaya, modus operandi jenayah terancang tetap sama hingga sekarang. Saya masih melihat pelacuran berleluasa di Bukit Bintang. Tingkat empat sebuah hotel terkenal masih dipenuhi pelacur siang dan malam.
Persoalannya: Apakah undang-undang sudah dibeli dengan wang?
Cuma, siapa yang kena beli? Pandai-pandailah kita siasat dan dedahkan! – 22 September Ogos, 2019.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen