Pemergian Dr Farid satu kehilangan besar, kata Muhyiddin 


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Allahyarham miliki sikap yang baik dan cukup mesra.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik sebagai kehilangan besar buat parti dan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) berusia 42 tahun itu meninggal dunia pada Sabtu susulan komplikasi jantung.

Mengakui terkejut dengan berita kematian itu, Muhyiddin berkata ia merupakan ketentuan Allah.

“Ia satu kehilangan besar yang saya kira bukan sahaja kepada parti malah kepada negara kerana walaupun baru dalam politik dan pentadbiran kerajaan, saya lihat Allahyarham memiliki sikap yang baik dari segi kepimpinan dan budi pekerti dan cukup mesra,” katanya.

Muhyiddin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri, bercakap kepada Bernama pada Sabtu di akhir lawatan kerjanya ke Washington DC dan New York bermula 15 September, bertujuan memperkukuh kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazah arwah kerana berada di luar negara namun telah menghantar wakil untuk berbuat demikian serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” kata Muhyiddin.

Dr Md Farid, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, meninggal dunia  di Hospital Pontian.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya Wee Jeck Seng (MCA) dengan majoriti 524 undi. – Bernama, 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen