KEMPEN Buy Muslim First (BMF) berpotensi menjejaskan perniagaan usahawan Melayu disebabkan pengguna keliru dengan pegangan saham syarikat, kata seorang bekas menteri.
Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani berkata ia mungkin menyebabkan pengguna menjauhi sesuatu produk kerana mengesyaki syarikat pengeluar milik bukan Melayu.
Jelasnya ia boleh berlaku kerana pengguna tidak memahami struktur ekuiti sesebuah syarikat dan menjauhi produk keluaran syarikat yang dilihat dimiliki bukan Melayu.
“Contoh Melayu ini buka kilang dia nak besarkan kilang pinjam dengan taukeh Cina. Tetapi oleh kerana dia pinjam dengan Cina, taukeh cakap sebagai sekuriti bagi saham 51% sehingga habis hutang.
“Jadi orang ini sebenarnya jual produk muslim tetapi jika kamu hanya lihat berdasarkan struktur pegangan saham, semua orang boikot dia. Sebab itu kita kena hati-hati jangan sampai makan diri.
“Berapa banyak syarikat kita dimanipulasi dari segi pegangan saham. Sebab itu saya takut nanti orang muslim yang betul-betul tulen produk dia kena sabotaj sebab orang tak tahu struktur dia,” katanya.
Dalam ucapan di forum Cabaran Dasar Ekonomi Baru Di Era Malaysia Baru di PWTC hari ini, beliau juga berkata sukar untuk membezakan sesuatu syarikat bumiputera dan bukan bumiputera.
Malah tiada sistem yang wujud untuk membezakan kedua-dua jenis syarikat.
“Perniagaan ini universal, bermaksud tidak mengira warna sama ada Melayu, Cina atau India. Tetapi yang membezakan setiap produk adalah sama ada ia halal atau tidak halal.
“Kalau bercerita pasal kempen beli produk muslim dahulu, masalahnya adakah ada sistem yang boleh semak sama ada ia produk muslim atau bukan,” katanya.
Oleh itu, kempen untuk barangan pengguna tidak boleh berdasarkan retorik semata-mata, kata bekas timbalan menteri kewangan itu lagi.
Beliau memberi contoh produk keluaran syarikat Nestle dan Dutch Lady, yang dimiliki oleh bukan Bumiputera namun mempunyai produk yang berkualiti, halal dan diiktiraf oleh Jakim.
“Banyak rumah yang ada barangan keluaran syarikat ini. Macam Nestle, ia dibuat oleh orang luar tetapi proses pembuatan itu adalah halal dan produknya juga kompetitif.
“Jika kita main retorik punya cerita, maka kita tidak lagi berada dalam dunia perniagaan, sebab dunia perniagaan ini luas,” katanya.
Kempen mengutamakan produk keluaran muslim dan bumiputera itu dilancarkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sejak April lalu.
Ia bagi menggerakkan ekonomi umat Islam dan dalam masa yang sama memberikan lebih banyak pilihan produk halal kepada pengguna.
Pada masa sama terdapat juga kempen di dalam talian yang menggesa pengguna memboikot produk dan perkhidmatan keluaran bukan Melayu dan bukan Islam.
Oleh itu, kempen untuk barangan pengguna tidak boleh berdasarkan retorik semata-mata, kata bekas menteri kewangan II itu lagi. – 21 September, 2019.
Komen