LEBIH 300 peserta termasuk kanak-kanak berkumpul di sekitar Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap masalah perubahan iklim dan menyuarakan pendirian mereka terhadap kapitalisme alam sekitar, berikutan pemogokan global yang diketuai oleh aktivis remaja alam sekitar Greta Thunberg semalam.
Peserta himpunan memulakan perarakan dari Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira jam 4.30 petang dan tiba di Dataran Merdeka jam 5.15 petang.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh kumpulan Klima Action Malaysia itu menuntut kerajaan membuat undang-undang Akta Jerebu Rentas Sempadan untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang menyumbang kepada gejala jerebu, menyekat syarikat-syarikat pelaburan berkaitan dengan kerajaan dari bekerja dengan syarikat yang menyebabkan kerosakan alam sekitar dan peranti ke sistem memantau titik panas di seluruh negara.
Gerakan #MALAYSIAAGAINSTHAZE juga mendorong pemimpin Asean untuk bekerjasama dengan berkesan bagi memerangi masalah tersebut.
Murid-murid SJKT Sg Ara Pulau Pinang yang digelar pejuang alam oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana memperjuangkan pemuliharaan alam dan persekitaran lestari turut menyertai demonstrasi aman berkenaan.
K Raja Rajeshwary K, 12, berkata beliau dan rakannya M Sasiharini, 11, datang dari Pulau Pinang untuk menyertai perhimpunan itu.
“Ada banyak jerebu dan kami mahu melindungi bumi kita. Harapan saya agar lebih ramai ibu bapa akan membenarkan anak-anak menyokong mogok perubahan iklim ini,” katanya.
Dia mahu kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memerangi masalah yang mendatangkan banyak penyakit.
Raja Rajeshwary berkata mereka telah meminta keizinan pengurusan sekolah dan ibu bapa untuk menyertai perhimpunan tersebut.
“Saya telah belajar tentang perubahan iklim sejak darjah satu.
“Perubahan iklim telah dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran di sekolah kami,” katanya. – 21 September, 2019.
Berita penuh di sini.

Komen