INKUES yang disarankan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada tiga lelaki yang maut ditembak polis dalam satu kejadian tembak menembak di Gombak, Selangor minggu lalu adalah satu pembaziran masa, kata peguam P Uthayakumar.
Uthayakumar yang mewakili keluarga ketiga-tiga lelaki berkenaan berkata dia tidak memihak kepada inkues itu kerana sangat jarang seorang anggota polis akan didakwa selepas inkues.
“Tambahan pula 98% dari masa koroner akan memberikan keputusan terbuka.
“Koroner tidak boleh membuat keputusan secara konklusif kerana ada yang disembunyikan, itulah sebabnya ia hanya membuang masa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Hamid berkata polis akan membuat inkues dalam kes tembakan ketiga-tiga lelaki berkenaan berikutan terdapat kenyataan bercanggah daripada pelbagai pihak mengenai insiden itu minggu lalu.
Beliau berkata inkues itu perlu dijalankan dengan cepat kerana terdapat pelbagai kenyataan dan tuduhan yang dibuat.
Namun KPN menyatakan keyakinannya bahawa anggota polis telah bertindak sewajarnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika bertugas.
Ketiga-tiga lelaki yang ditembak mati ialah Janarthanan Vijayaratnam, seorang warga Sri Lanka yang mendapat status penduduk tetap (PR) di United Kingdom, abang iparnya Thavaselvan Govindasamy dan rakannya Maghendran Santhirasegaran.
Keluarga mangsa mendakwa isteri Janarthanan, Moganambal Govindasamy juga berada di dalam kereta tetapi kini dilaporkan hilang.
Polis sebelum ini berkata tiada wanita di dalam kereta berkenaan yang dinaiki ketiga-tiga suspek.
Uthayakumar juga berkata bahawa ramai pegawai polis telah dibebaskan kerana tidak didakwa oleh peguam negara.
“Jika laporan dibuat, polis mesti segera menangkap pegawai terlibat dan melakukan siasatan.
“Kemudian peguam negara perlu mendakwa mereka barulah segala benda mengarut ini akan berhenti,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Pakatan yang baharu akan mengambil tindakan terhadap pegawai berkenaan.
“Ini adalah perubahan yang kita harapkan daripada kerajaan baharu ini,” katanya.
Keluarga mangsa mendakwa Janarthanan, isterinya dan tiga anak mereka tiba di Kuala Lumpur pada 27 Ogos untuk lawatan, lawatan pertama mereka di sini dalam tempoh enam tahun. – 21 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen