Zairil nafi dia lelaki dalam gambar intim


Looi Sue-Chern

Zairil Khir Johari berkata gambar yang kini viral itu satu lagi cubaan memfitnahnya menggunakan serangan peribadi. – Gambar The Malaysian Insight, 19 April, 2017.

AHLI Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari hari ini menafikan beliau adalah lelaki dalam gambar yang beraksi intim dengan seorang wanita seiras rupa bekas calon DAP dalam pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.

Dalam satu pesanan teks ringkas, Zairil yang juga penolong setiausaha publisiti DAP berkata ia “jelas satu lagi cubaan memfitnahnya dengan serangan peribadi”.

Beliau juga berkata gambar itu palsu.

DAP berkata ia kempen menentang dua ahli muda DAP berbangsa Melayu itu untuk mencemar imej mereka sebagai umat Islam dan menolak orang Melayu lain daripada menyertai parti berkenaan.

Pemimpin parti enggan mengulas perkara itu atau bercakap mengenai rancangan kepimpinan parti terhadap gambar yang dikaitkan dengan Zairil dan Dyana.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika didesak memberi komen petang tadi, enggan bercakap apa-apa.

“Tidak pada ketika ini,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu kepada The Malaysian Insight selepas sidang akhbar di Komtar hari ini.

Naib Presiden DAP M. Kulasegaran juga enggan mengulas.

“Ia soal peribadi, bagaimana saya boleh komen? Saya juga belum bercakap atau bertemu dia (Zairil),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi Naib Presiden DAP Teresa Kok berkata lebih baik jika hal itu diuruskan oleh Zairil dan Dyana sendiri.

Seorang sumber parti memberitahu The Malaysian Insight yang DAP biasanya tidak campur tangan dalam hal peribadi ahlinya.

Semalam, Dyana mengecam penyiaran gambar itu, berkata ia serangan peribadi ketiga terhadapnya dalam tempoh dua bulan ini.

“Saya andaikan pilihan raya umum pastinya semakin dekat,” katanya di Facebook, menambah ia pencerobohan privasi kehidupannya.

Dyana berkata beliau tidak ada masa hendak melayan serangan peribadi dan berunsur denda, kerana sibuk dengan kerja serta berkhidmat untuk rakyat di Teluk Intan.

Gambar itu viral sejak semalam, menunjukkan sepasang lelaki dan wanita menyerupai Zairil dan Dyana bersama di dalam sebuah restoran. Salah satu gambar menunjukkan mereka seperti bercium, sementara gambar lain menunjukkan wanita berkenaan sedang minum sambil dipeluk lelaki itu.

Sebelum ini, pernah juga viral gambar dalam keadaan hampir sama serta video menunjukkan pasangan itu menari di sebuah kelab. Kedua-dua lelaki dan wanita dalam gambar serta video itu juga menyerupai Zairil dan Dyana.

Zairil, yang sudah berkahwin menafikan beliau adalah lelaki berkenaan. – 19 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen