RIBUAN pelancong dari China membatalkan percutian mereka ke Malaysia akibat masalah jerebu yang menyelubungi negara, kata Malaysia Inbound China Association (Mica).
“Lebih 100 kumpulan pelancong dari China, Hong Kong dan Macau memutuskan untuk membatalkan perjalanan mereka ke sini pada September dan Oktober,” kata Presiden Mica, Angie Ng kepada The Malaysian Insight.
“Kumpulan ini sebaliknya memutuskan untuk ke Vietnam, Filipina dan Thailand, semuanya gara-gara jerebu,” kata Ng.
Dengan setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 20 hingga 30 orang pelancong, Malaysia akan kehilangan ribuan ketibaan pelancong dari China dan jutaan dolar.
Menurut Tourism Malaysia, perbelanjaan purata bagi setiap pelancong China ke Malaysia ialah RM4,411 seorang.
“Kesannya besar walaupun sesetengah kumpulan pelancongan mempunyai masa mencukupi untuk membatalkannya. Orang lain tidak begitu bernasib baik dan mereka terpaksa meneruskannya dan menerima aduan daripada pelancong,” kata Ng.
Beliau berkata kumpulan ini tidak dapat membatalkan perjalanan mereka kerana syarikat penerbangan tidak akan membayar semula duit tempahan tiket. – 23 September, 2019.
Berita penuh di sini
Komen