Timbalan menteri Dr Farid Rafik meninggal dunia


Zaim Ibrahim

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia di Hospital Pontian pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2019.

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pagi ini, kata sumber parti Pakatan Harapan.

Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang mengesahkan ahli Parlimen Tanjung Piai itu meninggal dunia sekitar jam 6 pagi ini di Hospital Pontian.

Kematian itu dipercayai akibat serangan jantung, katanya yang menambah Md Farid mengunjungi sebuah klinik malam tadi kerana mengadu sesak nafa.

“Malam (semalam) dia pergi ke klinik sebab sesak nafas. Kemudian dia pulang ke rumah lewat pagi, tetapi waktu itu masih boleh bersembang.

“Jam 12 tengah malam beliau berhubung dengan saya untuk berjumpa tetapi pagi ini dapat panggilan, beliau sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tambah Mazlan, jenazah akan dikebumikan sebelum waktu solat Zohor di Kampung Serkat, Tanjung Piai.

Allahyarham meninggal seorang isteri Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga orang anak Sophie Farissya, Eva Ariaana dan Zara Aleena.

Md Farid, 42, merupakan timbalan menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial.

Naib ketua Bersatu Tanjung Piai itu menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng di kerusi itu dalam PRU14 dengan majoriti 524 undi.

Pengundi Melayu membentuk jumlah terbesar sebanyak 57% di kerusi campuran itu dan 42% lagi pengundi Cina. – 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen