KESAN perang dagang AS-China dan kebimbangan berlaku kelembapan ekonomi yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan sentimen pelabur mungkin memaksa Putrajaya melaksanakan bajet pengembangan untuk tahun depan, kata pakar ekonomi.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang selain perang dagang yang hangat berlaku sekarang, kelembapan pertumbuhan ekonomi global serta kebimbangan kesan buruk Brexit juga boleh mendorong kerajaan menggunakan bajet pengembangan bagi mengekang kesan buruk yang mungkin timbul.
Bajet pengembangan bermaksud kerajaan menggunakan bajet sebagai alat untuk mengembangkan bekalan wang dalam ekonomi, supaya rakyat boleh meningkatkan perbelanjaan mereka.
Felo Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) Shankaran Nambiar berkata, pelaksanan bajet pengembangan mungkin dibuat “kerana tiada pilihan”.
“Menteri kewangan akan terpaksa menggunakan belanjawan pengembangan dengan bersederhana. Beliau tidak ada banyak pilihan memandangkan (pertumbuhan) ekonomi global perlahan,” katanya.
Perang dagang AS-China mungkin akan bertambah tegang memandangkan AS sedang menghampiri musim pilihan raya, tambahnya.
“Walaupun perang dagang mungkin membawa manfaat kepada Malaysia, ia sukar mengubah semuanya dalam sekelip mata. Pertumbuhan China juga dijangka terbantut. Semua faktor ini tidak memberikan kelebihan kepada Malaysia,” katanya.
“Kerana itu saya fikir bajet pengembangan akan dibuat kerana tiada pilihan. Tetapi akan ada peningkatan sesetengah (sumber) pendapatan untuk menampung pengembangan itu,” tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan bajet pengembangan untuk Bajet 2020 akan datang sebagai penebat kesan buruk perang dagang dua kuasa besar ekonomi dunia dengan tujuan untuk pengukuhan hutang fiskal negara. – 21 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen