ECRL tetap diteruskan, kata Dr Mahathir


SM Amin

ECRL akan diteruskan kerana China tidak membuat apa-apa tuntutan mengenai 1MDB, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 September, 2019.

PROJEK ECRL tetap diteruskan walau rundingan projek itu didakwa dibuat untuk menyelamatkan 1MDB seperti didedahkan saksi perbicaraan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ia hanya dakwaan yang timbul dalam perbicaraan kes 1MDB sedangkan kerajaan China tidak membuat apa-apa tuntutan berhubung kes itu.

“Itu apa yang dia rasa tetapi kerajaan China tiada minta apa-apa. Kita ada kontrak untuk bina. Kita sudah kurangkan skop kerja dan juga kurangkan kos. Jadi ECRL tetap akan diteruskan,” katanya.

Beliau mengulas kebimbangan pakar ekonomi, Dr Jomo Kwame Sundaram yang meminta kerajaan mengkaji semula projek ECRL ekoran pendedahan seorang saksi kes 1MDB di mahkamah.

Saksi tersebut, bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin minggu ini mendedahkan 1MDB dicetuskan untuk menyelamatkan syarikat pelaburan 1MDB yang dibelit hutang.

Jomo menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk membatalkan projek itu sebelum ia menjadi satu projek gajah putih.

Ketika ditanya, Dr Mahathir hari ini berkata projek tersebut boleh ditangguhkan sekiranya pakar ekonomi tersebut boleh merunding semula projek ECRL.

“Jika dia (Jomo) bersedia untuk berunding dengan China, beritahu kami program itu boleh ditangguhkan, saya akan ikut,” katanya.

Projek dengan kos RM98 juta itu dilancarkan semula Julai lalu dengan mengurangkan kos kepada RM68 juta selepas penasihat kerajaan Daim Zainuddin membuat rundingan semula dengan kerajaan China.

Ia merupakan antara projek yang ditangguhkan sebaik Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada tahun lalu. – 20 September, 2019.

MENYUSUL


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen