MAHKAMAH Tinggi Shah Alam diberitahu bahawa pengamal media dan pelawat lain dibenarkan masuk ke dalam rumah Ketua Pegawai Eksekuif Cradle Fund Allahyarham Nazrin Hassan beberapa jam selepas ia terbakar Jun tahun lepas.
Warga Nepal Raju Kumar Pandit yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di Mutiara Homes, Petaling Jaya memberitahu mahkamah yang beliau membenarkan beberapa pelawat memasuki kawasan perumahan berpagar itu pada hari sama mayat Nazrin ditemui dalam kebakaran rumahnya iaitu 14 Jun.
“Saya tahu pada hari sama, beberapa orang datang dengan sebuah kereta untuk memberikan bunga kepada keluarga Nazrin, kerana saya benarkan mereka masuk ke dalam kawasan perumahan,” katanya dalam keterangan pada perbicaraan kes bunuh itu hari ini.
Ketua peguam belas Shafee Abdullah yang melakukan soal balas saksi bertanyakan Raju sekiranya tertuduh, Samirah Muzaffar mempersoalkan tindakannya membenarkan pelawat itu masuk.
Shafee: Awak tahu si mati adalah peminat Kelab Bola Sepak Arsenal. Ahli kelab Arsenal datang ke rumahnya untuk memberikan kalungan bunga. Ada juga jersey yang diletakkan di depan rumah.
Raju: Ya, saya ingat itu, mereka datang ke pondok pengawal dan minta kebenaran untuk masuk, saya daftarkan mereka dan mereka masuk.
Shafee: Adakah Samirah kemudian tanya awak mengapa benarkan mereka masuk dan siapa mereka?
Raju: Ya, dia tanya. Tetapi, saya tenangkan dia dan berikan butiran mereka yang datang. Saya ada nombor plat kenderaan dan butiran pendaftaran.
Shafee juga menunjukkan tiga keping gambar dikeluarkan akhbar berbahasa Cina bertarikh 15 Jun 2018, sehari selepas kejadian kepada saksi.
“Mereka terbitkan ini pada 15 Jun. Sehari selepas (kebakaran) ia terbit, bermaksud wartawan pergi ke sana untuk tangkap gambar dan mayat masih di sana,” kata Shafee kepada saksi.
“Adakah awak tahu bagaimana wartawan dan jurugambar dibenarkan masuk?” tanya Shafee.
Raju berkata beliau tidak tahu bagaimana mereka dibenarkan masuk ketika itu. – 20 September, 2019.
Komen