PAKATAN Harapan mungkin dapat mempopularkan perkataan kleptokrasi dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi ia masih perlu menawarkan dasar dan penyelesaian bagi mendapatkan undi mereka, kata penganalisis.
Menggunakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu lain dalam negara tidak cukup untuk PH memenangi undi, kata mereka.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar yang menghadiri beberapa siri jelajah itu berkata daripada pemerhatiannya, rakyat secara amnya sudah bosan dengan masalah negara dan banyak isu lain yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Katanya, ramai mempersoalkan apa yang PH tawarkan, selain menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.
“Mereka menunggu untuk pemimpin PH tawarkan penyelesaian, sementara menilai perpaduan dalam kalangan parti komponen gabungan itu,” kata Hisomuddin.
Katanya, itu sebabnya khalayak yang ramai di jelajah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” tidak semestinya diterjemahkan kepada undi untuk pembangkang.
Beliau berkata mereka yang datang ke jelajah itu hanya berminat untuk melihat personaliti negara seperti Dr Mahathir Mohamad secara depan-depan, dan mendengar pelbagai isu daripada mereka.
“Tetapi sejauh mana kehadiran mereka akan diterjemahkan kepada undi untuk PH masih satu persoalan. Jika kita lihat corak mengundi masyarakat luar bandar, rakyat secara tradisinya akan cenderung mengundi jenama parti.
“Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan menjawab soalan itu untuk kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kesedaran mungkin pengaruhi undi
Bagaimanapun, penganalisis politik bebas Dr Samsu Adabi Mamat berkata jelajah itu mungkin mempengaruhi sikap mengundi bagi mereka yang sudah pun tidak suka dengan pemegang kuasa sekarang.
Katanya, perhimpunan politik boleh membawa kesedaran kepada rakyat untuk berubah.
“Penerimaan rakyat terhadap BN kini sudah pun berkurangan. Ada kaji selidik menunjukkan rakyat tidak suka dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kenaikan kos sara hidup, harga barang dan nilai ringgit yang rendah.
“Rakyat sedang susah tetapi mereka tidak tahu bagaimana menghadapinya. Jelajah itu banyak membantu, mereka jadi tahu yang sedang berlaku dalam negara dan semakin sedar tentang keperluan untuk bertindak demi perubahan,” katanya.
Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata jika rakyat percaya yang BN tidak melakukan tugas dengan baik, mereka mungkin pulang ke rumah selepas ceramah dengan perasaan tidak sabar menanti PRU14, menunggu untuk memastikan undi mereka memberi sumbangan kepada sesuatu perubahan.
Pengaruh Mahathir
Hisomuddin yakin Dr Mahathir memberi sumbangan besar sebagai pengerusi PH dalam memastikan kejayaan siri jelajah itu.
Pada usia 92 tahun, bekas perdana menteri itu pergi ke hampir seluruh negara dengan siri jelajah mingguan, berceramah di kawasan bandar dan luar bandar, termasuk penempatan Felda.
Hisomuddin berkata tanpa pengaruh mursyidul am PAS, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ketua umum PKR Anwar Ibrahim, Dr Mahathir memang menjadi faktor penarik orang ramai.
“Dari mula Dr Mahathir mula mengumpul tandatangan untuk ‘Deklarasi Rakyat’ tahun lalu hingga beliau dinamakan pengerusi PH, beliau menembusi kawasan luar bandar Melayu – tempat di mana pembangkang tidak pernah dapat masuk sebelum ini seperti perkampungan Melayu dan penempatan Felda.
“Itu secara langsung mengancam dominasi Umno di kawasan berkenaan. Umno tidak boleh lagi bersenang hati,” katanya.
Dr Mahathir, yang berceramah di dua hingga tiga acara ceramah anti kleptokrasi dalam seminggu, baru-baru ini berkata siri ceramah itu berjaya, menarik khalayak yang besar, termasuk penyokong Umno dan PAS yang “selalunya bersembunyi”.
Samsu berkata parti Bersatu yang diasaskan Dr Mahathir juga diterima baik di jelajah itu – satu lagi petanda kejayaan ceramah berkenaan.
Rakyat tunggu penyelesaian
Samsu berkata dengan kehidupan rakyat menjadi isu teras, mereka menanti untuk perubahan seperti pemansuhan GST, isu harga barang ditangani dan kestabilan politik dan ekonomi.
“Rakyat mahu negara ini mempunyai reputasi baik, kedudukan ringgit yang sihat, keyakinan pelabur dipertingkat, dan ekonomi lebih baik yang memberikan peluang lebih baik untuk semua,” katanya.

Jelajah dan ceramah anti kleptokrasi di seluruh negara itu dianjurkan oleh PH susulan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat membuat permohonan ketiga untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion), yang didakwa dibeli menggunakan wang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara itu.
Ceramah itu bermula di Penaga, Pulau Pinang pada 6 Julai, kebanyakannya diadakan di kawasan masyarakat Melayu luar bandar dan pinggir bandar.
Selain skandal itu, penceramah membangkitkan isu ekonomi dan kehidupan serta berjanji untuk memansuhkan GST jika PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU14.
Untuk itu berlaku, Hisomuddin berkata rakyat perlu melihat gabungan pembangkang yang bersatu.
“Perpaduan dalam gabungan itu dapat memberi keyakinan kepada rakyat yang PH dapat membentuk kerajaan lebih baik berbanding kerajaan sekarang,” katanya.
PH akan mengakhiri siri jelajah tiga bulan itu dengan himpunan anti kleptokrasi mega di Petaling Jaya hari ini di mana semua pemimpinnya dijangka hadir. – 14 Oktober, 2017.
Komen