PAS, Umno akui takkan dapat tawan Selangor


Mohd Farhan Darwis SM Amin

Kerjasama PAS dan Umno diikat melalui Piagam Muafakat Nasional yang ditandangani kedua-dua presiden parti di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2019.

PEMIMPIN PAS dan Umno percaya parti itu tetap tidak akan dapat menawan Selangor tanpa dukungan parti bukan Melayu dan bukan Islam.

Ini memandangkan, pada masa ini dianggarkan hanya kira-kira 3% daripada pengundi bukan Melayu dan Islam yang menyokong kerjasama Muafakat Nasional dianjurkan PAS dan Umno.

Malah, kerjasama itu tidak banyak menarik sokongan pengundi Melayu, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Shafie Ngah.

“Dari kajian awal kita, kita masih tak dapat sokongan bukan Melayu, (sokongan mereka) sedikit sahaja kepada gabungan penyatuan ummah.

“Tidak lebih daripada 3% anjakan sokongan itu daripada bukan Melayu di Selangor,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Oleh itu PAS Selangor berharap MCA, MIC, dan Dewan Himpunan Penyokong PAS akan membantu untuk menarik sokongan bukan Melayu lebih tinggi, katanya.

Bekas Adun Bangi itu berkata orang Melayu di Selangor tidak menyokong sepenuhnya kerjasama itu kerana selesa dengan pentadbiran cemerlang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal di situ.

“Di Selangor ini kekuatan tiga penggal perintah kerajaan negeri dan dikenali dengan produk yang rakyat suka seperti bas percuma.

“Bagi orang Melayu, mereka masih bergembira dengan PH hari ini. Walaupun digembar-gemburkan Melayu cenderung kepada perpaduan dan penyatuan ummah, tetapi keadaan berbeza di Selangor.

“Pengundi Melayu masih berharap kepada PH untuk teruskan kesinambungan mereka di Selangor, itu menjadi cabaran getir untuk penyatuan ummah bertemu dengan PH di Selangor ini,” kata Shafie.

Satu-satunya kawasan yang dikuasai PAS adalah kerusi DUN Sijangkang.

Dengan kerjasama itu, kedua-dua parti mengunjurkan pertambahan 11 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen dalam PRU15.

Ia berdasarkan kiraan mudah dengan menjumlahkan undi diterima kedua-dua parti yang bertembung dalam pilihan raya umum lalu di kawasan terbabit.

Enam kerusi yang diidamkan itu adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan Kuala Langat.

Antara kerusi DUN yang dihajati PAS dan Umno pula adalah Sabak, Permatang, Bukit Melawati, Ijok, Jeram, Kuang, Sementa, Selat Klang, Morib, Tanjung Sepat, dan Dengkil.

BN pada masa ini hanya menang satu kerusi Parlimen, iaitu Tanjung Karang, dan lima kerusi DUN – Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong dan Semenyih.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Rahman Bakri berkata beliau secara peribadi berpendapat gabungan kedua-dua parti mampu menewaskan PH di Selangor.

Pada masa ini dianggarkan hanya kira-kira 3% daripada pengundi bukan Melayu dan Islam yang menyokong kerjasama Muafakat Nasional dianjurkan PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2019.

Katanya, perkara itu akan dapat dicapai dengan bantuan parti lain yang menyokong kerjasama itu dan dengan sokongan ahli akar umbi parti ke atas pembahagian kerusi.

“Siapa pun calon daripada pusat esok, kalau ahli setia, insha-Allah Selangor kita dapat ambil balik.

“Kita harap penyokong Cina, India, Orang Asli yang ada, kalau mereka mahu kembali dan sokong kita, tiada masalah untuk ambil balik semula Selangor,” katanya.

Namun bagi parti kerajaan di Selangor, keghairahan itu tidak akan membuahkan hasil kerana melihat PAS dan Umno akan berdepan masalah dalam pengagihan kerusi.

Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli berpendapat, PAS dan Umno sukar untuk mengalah di kerusi yang ditandingi parti berkenaan yang berseteru selama ini.

“Di Selangor memang akan ada kerusi mereka boleh menang, hanya soalnya sekarang siapa yang nak mengalah,” katanya.

Shaid memberi contoh kerusi DUN Jeram yang dimenanginya dalam PRU14 dengan majoriti lebih 1,000 undi. Secara tradisi, BN dan akan bertembung di kerusi itu, katanya.

“Ini kerusi BN, dan PAS. BN dan Umno, lawan dengan PAS, PKR tak pernah tanding di Jeram hanya PAS dan Umno.

“Jadi siapa nak ambil kerusi itu? Itu kena dijelaskan dulu sebelum nak cerita pasal tumbangkan PH dan sebagainya,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Malah akar umbi parti juga masih belum yakin dengan tekad dan ketelusan kerjasama PAS dan Umno kerana perkara itu masih belum terbukti dalam pentadbiran kerajaan.

Oleh itu, PAS dan Umno perlu merombak barisan exco di empat negeri yang dimenangi mereka, iaitu di Pahang, Kelantan, Terengganu, dan Perlis untuk membentuk kerajaan campuran.

“Itu yang meyakinkan penyokong akar umbi Umno dan PAS. Kita tengoklah siapa yang nak mengalah nanti.

“Soal tawan kerusi atau tidak itu soal kedua, mereka kena berani isytihar mana kerusi PAS dan Umno, baru kita tahu sejauh mana mereka bertolak ansur. Nanti bergaduh berpecah.

“Buktikan dulu ketelusan,” kata Shaid lagi.

Kerjasama PAS dan Umno diikat melalui Piagam Muafakat Nasional yang ditandangani kedua-dua presiden parti di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Perjanjian itu bagaimanapun tidak menyebut sebarang perjanjian mengenai agihan kerusi.

Ia hanya menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi jawatankuasa yang dibentuk dan peringkat nasional hingga akar umbi. – 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen