NGO bangun aplikasi bantu usahawan hadapi tindakan PBT, samseng


SM Amin

Yang dipertua DEUM Khairul Khuzaini Zamsani menunjukkan aplikasi MMSOS pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 September Ogos, 2019.

NGO DEWAN Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM) memperkenal aplikasi telefon bimbit baharu untuk membantu menjaga keselamatan dan kebajikan terutamanya usahawan kecil.

Yang dipertua DEUM Khairul Khuzaini Zamsani berkata ia membantu usahawan berdepan masalah tindakan penguatkuasaan PBT mahupun gangguan daripada samseng yang mahu memeras ugut.

“Melalui aplikasi ini, apabila berasa terancam, mereka hanya perlu tekan butang kecemasan dan kita punya (pegawai) berdekatan akan datang membantu dalam masa 10 minit,” katanya.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan itu termasuk operasi rampasan yang dijalankan PBT atau melibatkan masalah pelesenan

“Jadi di sini kita akan bertindak sebagai orang tengah untuk selesaikan masalah tersebut.

“Andai kata peniaga itu tidak ada lesen, kita bantu mereka untuk dapatkan lesen. Bukanlah terus kena barangan perniagaan kena sita.

“Begitu juga dengan gangguan lain seperti kena peras ugut dengan samseng dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Khairul, aplikasi dinamakan MMSOS ini juga boleh digunakan oleh mana-mana pengguna dan bukan hanya untuk peniaga kecil sahaja.

Melalui aplikasi dibangunkan syarikat MM Care Support Sdn Bhd itu, mereka dapat mengadakan rundingan dengan PBT untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Katanya, DEUM berpengalaman dalam mengadakan rundingan dengan PBT seperti dalam kes melibatkan satu kuil di Sungai Petani dan sebuah restoran di Kepong.

“Kita pergi ke pejabat tanah, PBT semua duduk semeja berbincang selesaikan masalah yang timbul. Semua setuju, masalah selesai.

“Beri tempoh enam bulan untuk mereka keluar dan sebagainya,” katanya memberi contoh kes yang pernah diselesaikan sebelum ini.

Khairul berkata, mereka yang berminat untuk menggunakan aplikasi itu boleh mendapatkan secara percuma tetapi perlu membayar RM360 setahun untuk menggunakan butang kecemasan.

“Kita ada pakej tertentu mengikut kesesuaian pengguna. Perkhidmatan lain seperti nombor telefon balai polis, bomba dan bengkel kereta berhampiran juga disediakan secara percuma,” katanya.

Aplikasi itu juga memberi peluang kepada golongan seperti anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung  untuk berkhidmat sebagai pegawai tindakan yang digelar RO.

“Melalui aplikasi ini, mereka boleh menjadi RO dan kita akan bayar RM50 hingga RM70 setiap kali pertolongan diberikan,” ujarnya. – 19 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen