NAJIB Razak menyokong sepenuhnya Low Tae Jho dan meletakkan ahli perniagaan yang kini dalam pelarian itu dalam operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas pembantu perdana menteri ketika beri keterangan pada perbicaraan 1MDB hari ini.
Bekas pegawai khas Najib Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas bertahun bekerja dengan Low, beliau mendapati ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu mendapat sokongan dan kepercayaan Najib dan juga Rosmah Mansor.
“Terdapat banyak peluang sepanjang masa saya bekerja dengan Datuk Seri Najib untuk menegaskan bahawa selepas setiap kali saya menyemak arahan dari Jho Low dengan Datuk Seri Najib, Jho Low mempunyai sokongan perdana menteri.
“Dan bila ada perbezaan pendapat, seperti antara (bekas CEO 1MDB) Arul Kanda dan Jho Low, Datuk Seri Najib akan menyebelahi Jho Low.
“Selepas banyak contoh, dari pengalaman dan pemerhatian saya terhadap tingkah laku dan kata-kata Datuk Seri Najib, saya membuat kesimpulan bahawa setiap kali Jho Low bercakap, ia adalah dengan sokongan penuh Datuk Seri Najib,” kata Amhari ketika pemeriksaan balas oleh pendakwa raya ad hoc kanan Gopal Sri Ram.
Mengenai siapa yang meletakkan Jho Low pada kedudukannya ketika itu, Amhari berkata ia adalah Najib.
Bekas perdana menteri dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Pada pemeriksaan balas hari ini, Sri Ram turut membangkitkan mengenai penghujahan peguam bela bahawa Jho Low merupakan penipu yang dengan sengaja sampai lambat pada pertemuan rahsia dengan Amhari dan bekas setiausaha sulit Najib, Azlin Alias yang diadakan di Hotel Prince, Kuala Lumpur. – 19 September Ogos, 2019.
Komen