PEGAWAI agensi penguatkuasaan undang-undang akan dilengkapi dengan kamera badan untuk mencegah rasuah serta mengukuhkan profesionalisme kerja, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Kami akan menguatkuasa kamera badan polis, imigresen dan kastam supaya kita tahu apa mereka buat…jika ada korupsi atau salah guna kuasa.
“Rakyat boleh mengadu tetapi kami perlukan bukti, jadi kamera badan boleh tunjuk apa yang berlaku. Bagaimanapun, bukan semua anggota akan pakai, hanya anggota tertentu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat anti korupsi di Putrajaya hari ini.
Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pemasangan dan tambah baik kamera di lima pusat tahanan polis seluruh negara.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum memutuskan tempoh masa usaha terbaru menentang korupsi itu akan mula dilaksanakan.
Jelas Dr Mahathir, peralatan itu akan mula diedarkan kepada agensi selepas kerajaan menyemak peruntukan.
“Kita tak tahu bila. Bila kita ada duit. Pada masa sekarang, kita akan utamakan kepentingan perkara lain dahulu,” katanya. – 19 September, 2019.
Komen