Pelajar UM mahu Jakim tampil panelis LGBT dalam program kesedaran


Nabihah Hamid

(Dari kiri) Bekas 'mak nyah' Mohamed Bakri Abu Bakar, pendakwah Hanafiah Abdul Malek daripada Jakim dan bekas lesbian yang dikenali sebagai Kak Rynn berkongsi pandangan dan serta pengalaman pada program Kesedaran Mahasiswa LGBT anjuran Jakim di Universiti Malaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Oktober, 2017.

PENYERTAAN aktivis dan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam program kesedaran mengenai LGBT mampu membantu masyarakat untuk lebih memahami golongan itu, kata mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Menurut beberapa peserta program Kesedaran Mahasiswa LGBT yang diadakan di UM, ia untuk memastikan lebih banyak informasi mengenai golongan itu diperolehi.

Azmina Azlin, 22, mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menampilkan panelis daripada golongan LGBT sendiri agar dapat mengkaji dan memahami lebih baik punca mereka jadi begitu.

“Di Malaysia ada banyak komuniti dan aktivis LGBT. Mereka perlu ada (dalam program) seperti ini bagi mengkaji apa masalah yang perlu diselesaikan.

“Di UM sangat terbuka. Kelebihan pelajar boleh fikir (tidak terpengaruh). Saya tidak ada masalah jika ada perbezaan pendapat,” katanya kepada kepada The Malaysian Insight.

Hari ini, Jakim menganjurkan program kesedaran yang dihadiri kira-kira 300 pelajar UM yang menampilkan bekas “mak nyah” Mohamed Bakri Abu Bakar atau Kak Jun dan bekas lesbian yang dikenali sebagai Kak Rynn untuk berkongsi pengalaman mereka.

Kedua-dua panelis yang telah kembali ke pangkal jalan itu memberitahu mereka dibantu Jakim untuk menangani masalah kecelaruan gender.

Dalam pada itu, pelajar tahun akhir Carlson Chew berkata program sedemikian boleh menjemput aktivis LGBT seperti Nisha Ayub untuk bertukar pendapat.

“Saya rasa Malaysia ada aktivis sedia seperti pertubuhan bukan kerajaan Sisters In Islam dan Nisha Ayub. Saya rasa mereka sudi untuk berbincang sama-sama (dalam program anjuran Jakim).

“Mungkin masa depan, jika UM ambil berat tentang isu ini. Mereka boleh buat satu lagi. Bukan saja mengajak satu pihak (yang telah berubah) tetapi satu pihak lain (LGBT) untuk menjelaskan pandangan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Carlson Chew mencadangkan pihak penganjur menjemput golongan LGBT untuk mendengar sendiri pandangan dan pendapat mereka ketika ditemui selepas program Kesedaran Mahasiswa LGBT anjuran Jakim di Universiti Malaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Oktober, 2017.

Dalam pada itu, pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Daren memuji inisiatif Jakim turut mencadangkan perkara sama.

“Ini langkah pertama mereka yang menjemput pelajar (bukan Islam) untuk mendengar. Namun, mereka perlu perbaiki.

“Mereka perlu ambil insiatif dan jemput ramai lagi dan bukanlah dua panelis yang telah berhijrah untuk menjelaskan pandangan mereka.

“Ini untuk menunjukkan golongan ini, kita hendak bantu mereka. Ia bukan soal kita sokong  atau tidak tetapi hak asasi manusia,” katanya .

Sementara itu, Norwahizatul Wahed, 22, yang hadir ke program kini lebih jelas mengenai isu LGBT.

“Kita tak pernah tahu bagaimana LGBT boleh terjadi sehinggalah saya dengar sendiri. Apa kita dapat tahu hari ini, mereka sudah terjebak sejak muda lagi.”

Norwahizatul juga tidak bersetuju sekiranya golongan songsang ini dilabel sebagai ahli neraka kerana kecelaruan gender.

“Kita tak setuju sebab kita bukan Tuhan nak menghakimi orang. Ini antara mereka dengan Tuhan. Kita hanya boleh nasihat dan tunjukkan jalan yang benar. Dan bantu jika mereka memerlukan bantuan. – 13 Oktober, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen