Sukar dapat kerja, graduan kejuruteraan jadi penghantar makanan


Nabihah Hamid

Ramai graduan menganggur tidak sanggup terus menunggu untuk mendapat kerja sesuai dengan kelulusan kerana desakan hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2019.

KESUKARAN mendapat pekerjaan memaksa ramai anak muda memilih pekerjaan sementara untuk menyara kehidupan selepas tamat pengajian.

Beberapa graduan bidang kejuruteraan yang ditemubual The Malaysian Insight memberitahu, mereka tidak mampu terus menunggu untuk mendapat pekerjaan yang diidamkan.

Salah seorang daripadanya, Amirul Syaqir Anuar, 24, yang menganggur hampir lima bulan selepas tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan pesawat.

Beliau sama sekali tidak menyangka penat lelahnya hampir lima tahun demi segulung ijazah kini berakhir sebagai penghantar makanan sebuah aplikasi popular Food Panda.

Graduan Universiti Kuala Lumpur ini memohon pelbagai kerja berkaitan bidang yang dipelajari sejak April namun gagal membuahkan hasil.

“Syarikat yang tawar kerja dalam bidang ini mahu calon yang berpengalaman. Saya pernah juga cuba mohon kerja di pusat beli belah sebagai jurujual, mereka tak mahu terima sebab terlebih layak.

“Jadi saya buat keputusan untuk kerja Food Panda. Hidup mesti diteruskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Keadaan yang dialami Amirul ini antara penyumbang peningkatan jumlah graduan menganggur kepada 516,6000 pada suku pertama tahun ini.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia itu menunjukkan seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah berdaftar sebagai pencari kerja di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Seorang lagi adalah Azham Azizi Jemmani, 24, yang kini bekerja di sebuah bank walau memegang ijazah dalam bidang kejuruteraan.

Katanya, beliau terpaksa menerima kerja sementara itu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi di Selangor.

Beliau memohon kerja dengan syarikat berkaitan kejuruteraan sebaik tamat pengajian pada Oktober lalu namun tidak membuahkan sebarang hasil.

“Jadi saya kira bernasib baik dapat kerja di bank selepas lima bulan menganggur. Kita belajar apa kita minat tetapi kerjalah dengan apa yang rezeki kita dapat.

“Bagi saya, dalam kehidupan apa yang kita nak kita kena kerja keras. Tak boleh memilih. Kos hidup pun tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Amirul Syaqir Anuar, graduan kejuruteraan pesawat menganggur hampir lima bulan selepas tamat pengajian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 September, 2019.

Seorang lagi pemegang ijazah kejuruteraan, Mohd Fuad yang kini bertugas di sebuah kedai emas turut terkilan kerana tidak mendapat pekerjaan idamannya.

Kini, beliau pasrah dengan takdirnya dan menerima kerjanya sebagai jurujual pada masa ini sebagai takdirnya.

“Kita belajar kejuruteraan bukan senang. Bertahun-tahun nak dapat ijazah. Tapi itulah rezeki saya ada sebagai jurujual barang kemas.

“Saya bukan tak cuba cari tapi itulah. Susah betul nak dapat kerja berkaitan. Ada dulu datang temubual, senyap,” katanya dengan kecewa.

Satu kajian dijalankan Khazanah Research Institute pada tahun lalu mendapati, antara punca graduan tidak mendapat kerja adalah kekurangan kemahiran.

Selain itu, terdapat juga universiti yang lemah dalam menyediakan tenaga kerja dalam industri, menurut kajian School-To-Work Transition Survey 2018.

Ia menyebut, institut pengajian mengutamakan kelulusan akademik dan profesional sedangkan majikan mengutamakan kemahiran insaniah dan pengalaman kerja.

Mengulas mengenai isu pengangguran graduan itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sahol Hamid Abu Bakar berkata universiti terutama bidang kejuruteraan perlu bekerjasama dengan industri berkaitan.

Sahol yang kini merupakan naib canselor Crescent University, Chennai, India berkata ramai pelajar bidang kejuruteraan tidak memenuhi keperluan industri.

“Mereka banyak belajar teori dan pihak universiti perlu bekerjasama dengan industri.

Sangat sedikit bilangan jurutera mempunyai kemahiran teknologi baharu.

“Di universiti misalnya fakulti tidak memberikan penekanan kepada keperluan industri. 60% daripada teori,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sahol turut mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang mewajibkan majikan mengambil graduan kejuruteraan untuk latihan dan kursus.

“Mereka perlu berikan kursus dan bayar graduan. Bukannya graduan kena bayar untuk kursus,” katanya lagi. – 20 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen