JABATAN Meteorologi meramalkan jerebu yang melanda negara akan berakhir pada penghujung bulan ini.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight jabatan itu bagaimanapun berkata bahawa kualiti udara akan pulih secara berperingkat pada minggu akan datang.
“Jerebu akan berterusan sehingga minggu depan tetapi kualiti udara akan dalam minggu akan datang.
“Arah angin yang rendah akan membantu keadaan dan kami akan memantau keadaan serta melaksanakan pembenihan awan secepat mungkin apabila keadaan cuaca mengizinkan,” katanya.
Jabatan ini juga berkata bahawa negara sedang mengalami musim monsun barat daya dan ia dijangka berakhir pada September atau awal Oktober.
“Paras hujan sangat rendah pada musim ini dan itu sebabnya cuaca panas dan kering. Selepas musim ini berakhir, kita akan memasuki fasa peralihan monsun yang mana dijangka lebih banyak hujan.
“Ia akan mengurangkan jerebu yang datang dari negara jiran dan sebaik sahaja monsun barat daya berakhir, jerebu di Malaysia akan hilang,” tambahnya.
Setakat pukul 7 malam ini, 39 kawasan di semenanjung mencatat kualiti udara yang agak teruk yang berpunca daripada jerebu rentas sempadan berikutan kebakaran di Indonesia.
Kulim Hi Tech, Minden, Balik Pulau, Taiping, Petaling Jaya, Shah Alam, Nilai dan Johan Setia merupakan kawasan yang memcatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat.
Di Sarawak, Sri Aman dan Kuching merekodkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu pada bacaan 227 dan 256.
Hanya Kelantan, Terengganu, Perlis dan Sabah mencatatkan kualiti udara sederhana.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Sementara itu, sekolah di Selangor akan ditutup esok dan Jumaat berikutan keadaan kualiti udara yang semakin buruk di negeri itu.
Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu adalah berdasarkan kepada nasihat Jabatan Meteorologi bahawa kualiti udara yang buruk akan berterusan sehingga minggu depan. – 18 September Ogos, 2019.
Komen