POLIS hari ini menolak dakwaan bahawa mereka telah menembak mati seorang rakyat Sri Lanka yang tidak bersalah dan melabelnya sebagai penjenayah yang dikehendaki.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata mereka tidak menemui rekod Janarthan Vijayaratnam – seorang warganegara Sri Lanka dengan status penduduk tetap United Kingdom yang memasuki Malaysia pada 27 Ogos seperti didakwa keluarganya.
Janarthan merupakan seorang perompak yang ditembak mati oleh polis di Rawang Sabtu lepas.
Noor Azam berkata suspek ditembak kerana terlibat dalam beberapa siri rompakan rumah.
“Tiada rekod yang menunjukkan kemasukan Janarthan pada 27 Ogos. Satu-satunya rekod yang ada ialah isterinya Moganambal Govindasamy yang kini hilang,” katanya.
Menurutnya suspek sebelum ini telah tinggal melebihi had tempoh di negara ini dan sepatutnya meninggalkan Malaysia di bawah program pengambilan semula pada 2013.
“Dia sepatutnya keluar pada 2013 tetapi pada 2016 namanya muncul sebagai suspek dalam kejadian rompakan di Sentul.
“Orang yang menyebut namanya kepada polis ialah salah seorang perompak bernama Maghendram Santhirasegaran yang meninggal dunia bersama Janarthan dalam kejadian tembakan Sabtu lepas,” katanya.
Sumber polis kemudian memaklumkan kepada The Malaysian Insight bahawa Janarthan dipercayai salah seorang penjenayah yang telah melepaskan tembakan ke arah polis.
“Kedua-dua penjenayah itu duduk di kerusi hadapan kereta Volkwagen. Kami percaya Janarthan adalah salah seorang daripada mereka,” kata sumber.
Ditanya apakah benar Janarthan memegang status penduduk tetap UK, polis berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan berkenaan.
“Kami akan membincangkan perkara itu. Kami akan dapatkan pengesahan daripada Kedutaan Britain,” katanya.
Pada malam Sabtu, Janarthan bersama abang iparnya Thavaselvan Govindasamy dan Maghendran terbunuh dalam kejadian tembak menembak selepas dikejar polis sejauh 7 kilometer.
“Dua daripada mereka melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa polis melepaskan enam tembakan balas menyebabkan perompak berkenaan terbunuh,” kata Noor Azam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Gombak pada pagi Sabtu. – 18 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen