MASYARAKAT terutama golongan pendakwah diharap berhenti menggunakan pendekatan balasan “syurga dan neraka” bagi mendekati golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk membawa mereka ke pangkal jalan, kata seorang bekas “mak nyah”.
Mohamed Bakri Abu Bakar atau dikenali sebagai Kak Jun yang bertaubat 20 tahun dahulu berkata, golongan LGBT harus didekati terlebih dahulu dan tidak terlalu ghairah menyebut isu pahala dan dosa semasa berdakwah.
“Dakwah itu (ahli syurga neraka) tidak boleh, kerana kita tidak tahu. Kalau boleh, kenali mereka kemudian barulah berdakwah.
“Kalau pandai memujuk, insha-Allah mereka akan boleh (berubah). Jangan drastik kata tiket ke syurga (kalau berubah), tak patut.
“Pasal dosa pahala itu ketepikan dulu. Ajak berkawan, kenal mereka dan dari itu sikit-sikit bimbing ke arah ke arah keagamaan,” katanya kepada wartawan selepas berkongsi pengalamannya dalam program kesedaran mahasiswa LGBT anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Beliau turut berkata semua pihak perlu memainkan peranan mendekati golongan ini dan tidak mendiskriminasi mereka dan memuji pihak Jakim yang lebih memahami.
“Dahulu jawatan agama negeri, kalau melakukan tangkapan bukan setakat tangkap tetapi hina dan herdik. Jadi mereka (LGBT) takut dan benci dengan mereka. Jadi mereka dengan sendirinya akan benci dan tersisih daripada agama,” katanya lagi.
Kak Jun juga turut menegur pilihan tajuk forum oleh penganjur yang dirasakan agak keterlaluan seperti “Tiket ke Syurga” yang pernah dihadirinya.
“Kalau boleh, penganjur tolonglah pilih tajuk lebih sesuai. Saya banyak dikecam kawan-kawan. Saya berhijrah dan orang kenal saya Kak Jun. Peranan saya adalah untuk membimbing kawan-kawan saya yang lain.
“Mereka (mak nyah) tak boleh (bertaubat) tanpa orang tengah. Walaupun saya seperti ini (sudah berubah) kalau apa-apa info berkaitan, tidak ada jurang,” katanya yang bekerjasama dengan Jakim sejak 2012.

Sementara itu, dalam program yang sama, seorang bekas lesbian dikenali sebagai Kak Rynn mahu pihak kaunselor lebih prihatin dalam memberikan nasihat kepada golongan songsang.
“Dulu saya bangga mengaku lesbian. Tapi saya tak suka orang cakap soal halal haram, dosa neraka. Cara mereka nak tarik (ke pangkal jalan) terus bagi syurga neraka.
“Kalau kaunselor, kenali dulu (LGBT) dan fahami, baru boleh cerita lebih-lebih” katanya pada program yang dihadiri hampir 300 pelajar UM.
Dalam pada itu, pegawai Jakim, Dr Izwan Md Yusof turut bersetuju golongan ini perlu didekati dengan cara berbeza.
“Jangan mudah menghakimi dan sebut mengenai ahli syurga neraka kepada golongan ini tanpa mendekati mereka.
“Kita (Jakim) jelas mengenai LGBT. Jakim tidak bersetuju dengan perlakuan LGBT tapi tak menafikan hak mereka untuk dibimbing, diberi nasihat dan panduan ke arah lebih baik.
“Mungkin dalam masyarakat kita ada stigma. Ini yang kita akan terangkan supaya mereka dapat melihat isu ini secara menyeluruh.”
Izwan berkata, pihaknya sentiasa konsisten mendekati golongan ini dengan membuat program sekurang-kurangnya lima kali dalam setahun.
“Saya juga mendekati mereka secara berterusan dengan mengadakan usrah. Di situ saya buat kelas mengaji Quran dan ada sesi perkongsian (kaunseling),” katanya yang menggerakkan dakwah di sekitar Shah Alam, Kuala Lumpur, Seremban dan Melaka.
Semasa menyampaikan ucapan, beliau turut bercakap mengenai pandangan Islam terhadap LGBT dan peranan Jakim dalam menanganinya.
Di samping itu, beliau juga mendedahkan statistik peratusan HIV yang majoritinya terdiri daripada LGBT dan punca yang membawa kepada gejala songsang ini. – 13 Oktober, 2017.
Komen