Melawan dengan seni grafiti di dinding


Diyana Ibrahim

Pelukis grafiti muncul di jalanan dengan semburan cat atau pen penanda dan menjadikan dinding dan lorong sebagai kanvas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2019.

PADA siang, mereka sama seperti orang lain, bekerja di pejabat mengharungi rutin sama dari 9 pagi hingga 6 petang.

Namun apabila malam tiba, mereka muncul di jalanan sebagai artis grafiti yang melukis dengan semburan cat atau pen penanda dan menjadikan dinding dan lorong sebagai “kanvas”.

Ada yang melakukannya kerana mahu menunjukkan kreativiti; ada juga yang menjadikan dinding dan lorong itu sebagai tempat melontarkan mesej sosial dan politik.

Mereka memilih berkarya pada waktu malam kerana seni grafiti mempunyai konotasi negatif, selalu dianggap perbuatan vandalisme, dan kerana itu mereka bergerak dalam gelap untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Seorang artis grafiti yang hanya mahu dikenali sebagai Case memberitahu The Malaysian Insight, persepsi salah terhadap mereka juga malah sampai mengaitkan seni grafiti dengan kumpulan samseng yang meninggal tanda atau “tagging” di tempat awam.

“Jadi sebab itu kita langgar saja buat tanda di mana- mana tempat pun. Kita biasa akan bergerak pada waktu malam. Habis kerja atau belajar kita carilah mana-mana tempat.

“Dulu kita minta kebenaran pun mereka (pihak berkuasa) tak beri sebab memang mereka pandang kita negatif,” katanya yang aktif melukis grafiti sejak 2000 lagi.

Case, 34, menjelaskan mereka kuat ditekan pada semasa tahun-tahun awal beliau mula terlibat.

Malah, beliau sendiri ditahan lebih 10 kali dan mendakwa pernah dipukul dan dilempang semasa oleh pihak berkuasa.

Namun dek minat yang mendalam pada seni grafiti, Case meneruskan usahanya walaupun ada tekanan hebat daripada masyarakat.

Pelukis memilih berkarya pada waktu malam kerana seni grafiti mempunyai konotasi negatif, selalu dianggap perbuatan vandalisme. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2019.

Budaya pop

Case yang berbakat dalam seni lukis mula minat seni grafiti sejak berjinak dengan seni tarian jalanan breakdance.

Katanya, seni grafiti di Malaysia berkembang seiring dengan perkembangan seni muzik hip hop yang menjadi kegilaan anak muda ketika itu.

Jelas beliau, pada awalnya seni grafiti hanya menampilkan perkataan semata-mata dan bukannya ada tokok tambah lain seperti sekarang.

“Kemudian berlaku peralihan apabila seni jalanan ini dipelbagaikan, ditambah dengan character (watak) dan ada juga mural yang dulu kita tak anggap sebagai grafiti tetapi lebih kepada ‘fine art’ (seni halus),” katanya.

“Pelekat yang biasanya digunakan untuk sampaikan mesej sosial dan politik pun sebenarnya termasuk dalam grafiti moden.”

Case sekarang sudah ada kerja tetap di sebuah agensi swasta namun pada masa lapang masih meneruskan minatnya pada seni grafiti.

Tidak seperti Case yang berdepan dengan pihak berkuasa, seorang lagi pelukis grafiti, Skyde menceritakan tentangan yang dihadapinya daripada keluarga.

“Ibu bapa pada mulanya tidak setuju sebab grafiti ini banyak dikaitkan dengan perkara negatif tapi lama-lama mereka terima.

“Saya pun memang ada cara saya untuk lembutkan hati mereka dengan menghasilkan karya seni yang cantik,” katanya.

Grafiti dilihat di dinding sebuah bangunan tinggal di Maluri, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2019.

Skyde mengangkat imej haiwan dalam karya grafitinya untuk menyampaikan mesej mengenai pencemaran alam sekitar yang mengancam hidupan liar.

“Orang boleh kenal character (lukisan) saya, misalnya serigala pegang tin cat atau pancing ikan. Character (lukisan) saya tidak statik,” katanya.

Skyde, 25, mula minat pada seni grafiti selepas terdedah kepada seni itu yang sangat berkembang di daerah kelahirannya Batu Pahat, Johor.

Jurubahasa di sebuah syarikat Jepun berpejabat di Malaysia itu mendakwa ramai artis grafiti terkemuka negara berasal dari Batu Pahat.

“Sebab itu saya terpengaruh… kebangkitan seni grafiti di Batu Pahat ketika itu sangat kuat, banyak anak muda terlibat dalam grafiti.

“Saya pada mulanya dari ‘fine art’ lukisan berus kemudiannya terus bertukar kepada grafiti,” katanya, yang mula menceburi seni grafiti pada 2010.

Beliau memilih grafiti kerana merasakan cabang seni itu mencabar dan lebih sukar berbanding menggunakan berus.

“Kalau guna berus senang, mudah untuk bentuk tapi kalau cat semburan susah kita nak kawal.

“Lagi satu saya suka grafiti sebab kanvas lebih besar, tak macam di kertas lukisan kita terhad, tapi kalau di dinding kita lagi mudah nak berekspresi,” katanya.

Dulu haram, sekarang komersial

Menurut Case, masyarakat hari ini bagaimanapun sudah mula semakin menerima artis grafiti selepas banyak pelukis grafiti tempatan mencipta nama di luar negara.

“Jadi bermula dari situlah ada banyak program bersama kerajaan, dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pun ada datang sendiri bagi tawaran (untuk melukis).

“Kita pernah terlibat buat bengkel di sekolah tentang seni grafiti,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan seni grafiti yang dahulu dianggap digerakkan oleh golongan terpinggir kini mempunyai nilai komersial dan diterima sebagai antara seni arus perdana.

“Sekarang sudah jadi trend, sehingga banyak artis hendak melukis grafiti sebab nak masuk bidang komersil untuk perniagaan,” kata Case, yang mengaku pelukis grafiti kini boleh mendapat upah tinggi.

“Biasanya bergantung pada saiz dan rekaan… semakin rumit lukisan grafiti itu semakin mahal upahnya, boleh mencecah lebih RM4,000,” katanya.

Seni melawan, takut melawan

Seorang lagi pelukis grafiti yang menggunakan nama Sesak memilih mengangkat isu politik dan sosial, antaranya melawan prejudis kaum dengan slogan-slogan yang dilukiskan di dinding.

“Mesej yang cuba saya bawa adalah kesedaran awam dan kebanyakannya tertumpu dalam isu politik tapi mesej Sesak tak semestinya soal politik saja.

“Untuk isu sekarang saya cuba melawan hal berkaitan ‘racial prejudice’,” katanya.

 

Pelukis yang berasal dari Langkawi ini bermula sebagai kelompok yang menjual baju di Ipoh, Perak pada 2008 namun kemudiannya bertukar menjadi gerakan seni jalanan pada 2010.

Katanya, walaupun seni jalanan banyak dikaitkan dengan vandalisme tetapi ia sebenarnya lebih dekat dengan masyarakat.

“Bukan semua yang suka dengan mesej saya yang agak radikal tapi daripada kata-kata yang keras inilah saya agak mendapat perhatian,” katanya.

Ditanya masa depan dan pengaruh grafiti dalam masyarakat, pemuda ini berkata Malaysia ada banyak artis yang berbakat namun ramai daripada mereka cenderung berkarya sebagai sumber pendapatan tanpa mempedulikan hal masyarakat.

“Seni melawan melalui dinding agak hambar. Kita lebih suka mengkritik di dinding media sosial berbanding di dinding yang sebenar,” katanya.

Ditanya kenapa itu berlaku, beliau berpendapat Malaysia yang dibina atas asas ketakutan rakyat menyekat idea yang lebih radikal untuk tersebar.

“Takut adalah puncanya di samping menjaga periuk nasi. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana setiap artis ada hak dan identiti mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata walaupun sesetengah masyarakat melihat mereka seperti musuh kerana mengkritik di dinding, ia tidak mematahkan semangat untuk terus memberi kesedaran melalui seni grafiti.

“Hal yang melawan arus selalunya memang akan dianggap musuh tambahan pula selalunya kerja-kerja dinding kami tidak mendapat kebenaran daripada pemiliknya.

”Tapi ia bukanlah satu masalah bagi artis.

“Semakin hari kami semakin tumbuh meliar dalam masyarakat dengan kata-kata yang lebih membunuh daripada peluru. Idea tak akan mati dan kebenaran akan terus hidup,” katanya. – 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen