HAMPIR seluruh negara kini sedang bernafas dalam kualiti udara yang buruk dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melepasi tahap 200 pada pagi ini, mengikut rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Balik Pulau, Seri Manjung, Putrajaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Nilai dan Johan Setia adalah kawasan yang mempunyai tahap indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat pada pagi ini antara 202 hingga 253.
Sementara itu, 23 kawasan di semenanjung turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat antara 107 hingga 187.
Antara kawasan terlibat ialah Kulim Hi Tech, Seberang Jaya, Seberang Perai, Minden, Taiping, Tasek Ipoh, Pegoh Ipoh, Batu Muda, Cheras, Kuala Selangor, Banting, Seremban, Port Dickson, Alor Gajah, Bukit Rsmbai, Bandaraya Melaka, Segamat, Batu Pahat, Keluang Larkin, Tangkak, Temerloh dan Jerantut.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; 51 hingga 100 sederhana; 101 hingga 200 tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat; dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Hanya Kedah, Kelantan dan Terengganu berada di tahap kualiti udara sederhana.
Di Sarawak, kualiti udara Sri Aman bertambah baik dari kategori berbahaya kepada kategori tidak sihat.
IPU di Sri Aman kini berada pada paras 244.
Sementara di Miri, Samalaju, Bintulu, Mukah, Sibu, Sarikei, Samarahan dan Kuching mempunyai bacaan antara 101 hingga 175.
Semalam, Sri Aman menjadi kawasan pertama yang masuk ke dalam kategori “berbahaya” dengan bacaan IPU antara 300 hingga 400.
Kualiti udara di Sabah adalah sederhana sehingga pagi ini.
Sejak seminggu yang lalu, bacaan IPU berada semakin naik dan bilangan kawasan yang masuk ke dalam kategori tidak sihat dan sangat tidak sihat juga meningkat.
Lebih 600 sekolah juga ditutup semalam di beberapa bahagian di dalam negara disebabkan kualiti udara yang buruk yang menjejaskan 445,249 pelajar.
Sebanyak 636 sekolah kerajaan ditutup mengikut Kementerian Pendidikan, dengan Sarawak mempunyai yang tertinggi iaitu sebanyak 298 sekolah. – 18 September, 2019.
-new__full.jpg)
Komen