AHLI arkeologi dari Universiti Sains Malaysia berjaya menggali keluar rangka manusia yang dianggarkan berusia 5,000 hingga 6,000 tahun di tapak arkeologi Guar Kepah di utara Seberang Prai, Pulau Pinang.
Rangka itu ditemui kira-kira jam 11 pagi Isnin lalu ketika kontraktor dan pihak Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM (PPAG) sedang menggali tanah untuk meletakkan batu asas bagi pembinaan galeri arkeologi Guar Kepah.
Pemerhatian awal menunjukkan beberapa bahagian rangka itu masih elok. Antara penemuan lain ialah tembikar dan kulit kerang.
Ahli arkeologi Profesor Mokhtar Saidin dari PPAG berkata mereka menemui bahagian femur tertanam hanya 70cm dalam tanah.
Penemuan itu menyebabkan kerja pembinaan galeri itu dihentikan serta-merta dan kerja penggalian di tapak itu akan bermula petang ini.
Mokhtar berkata penemuan itu sudah lama dinantikan kerana galeri itu, bila ia siap nanti akan menempatkan rangka manusia yang hidup pada zaman Neolitik, bukan saja objek dan peralatan yang pernah digunakan.
“Ini satu penemuan penting yang memberikan kita gambaran bagaimana kehidupan manusia pada zaman itu.
“Kami juga banyak jenis kulit kerang, rangka binatang yang memberitahu kita tentang diet pemakanan mereka. Sekarang kami ada rangka manusia. Penemuan itu sudah lengkap,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Lim Guan Eng.
Mokhtar berkata sebaik saja rangka itu berjaya digali dan dikeluarkan, mungkin dalam tempoh dua minggu, ia akan dihantar ke USM bagi ujian saintifik dan analisis.
Walaupun ujian karbon masih belum dijalankan bagi menentukan umur rangka itu, bercakap berdasarkan pengalamannya, Mokhtar berkata ia kemungkinan besar tulang manusia berusia 5,000 hingga 6,000 tahun.
Beliau berkata rangka manusia yang ditemui itu berada di bahagian paling bawah di tapak itu, sejak bahagian atas sudah dialihkan ketika ahli arkeologi British pertama kali menemui rangka di situ pada 1860.
“Rangka itu juga ditemui di kawasan pasir pada aras laut, iaitu lapisan budaya baling bawah. Ia bermakna rangka manusia itu ditanam di situ kira-kira 6,000 tahun lalu.
“Ada sisa tembikar bersebelahan tulang yang ditemui. Memang budaya orang Neolitik untuk mengebumikan jenazah dengan barang seperti itu,” katanya, menambah beliau percaya pasukan itu mungkin akan menemui dua rangka manusia lagi di situ.
Pada zaman Neolitik, kebiasaannya si mati ditanam dengan timbunan kulit kerang.
Era itu juga dikenali sebagai Zaman Batu Baru – zaman pembangunan teknologi manusia yang bermula kira-kira 10,200 BC di beberapa bahagian di Timur Tengah dan kemudian di bahagian lain di dunia ini, dan berakhir antara 4500 dan 2000 BC.
Guar Kepah, yang lebih tua daripada Lembah Bujang di Perak, satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan bukti penempatan manusia zaman dulu yang dekat dengan kehidupan laut.
Ia tapak arkeologi pertama di Malaysia yang digali pada 1860 oleh Sir G.W. Earl. Penggalian itu menemui 37 rangka manusia, yang disimpan di Leiden, Belanda.
Ahli arkeologi USM mengkaji tapak itu sejak 2010.
Selepas semua kajian terhadap rangka itu siap, penemuan arkeologi dari Guar Kepah akan disimpan di galeri itu, yang akan dibina oleh kerajaan negeri.
Lim berkata kerajaan negeri memberikan tapak di Guar Kepah seluas 2.4 ekar dan RM830,000 untuk projek pembinaan fasa satu galeri itu kepada Chief Minister Incorporated (CMI).
Hari ini, beliau mengumumkan exco negeri meluluskan bajet tambahan RM20,000 untuk membantu penggalian, susulan penemuan terbaru itu.
“Ini satu-satunya tapak prasejarah di Pulau Pinang yang mendedahkan kewujudan penempatan manusia awal. Kami sangat komited dalam memelihara tapak itu.
“Kerajaan negeri melalui CMI akan bekerjasama dengan Lembaga Muzium Negeri untuk mengendalikan galeri itu,” katanya, menambah beliau berharap kerajaan persekutuan akan membantu galeri itu dengan memberikan nasihat dan dana.
Sejak tahun lalu, kerajaan negeri mengambil langkah memindahkan dan memberi pampasan kepada penduduk yang tinggal di kawasan tapak berkenaan.
Lim berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha membawa pulang penemuan arkeologi Guar Kepah dari Leiden. – 19 April, 2017.
Komen